Saturday, April 9, 2011

Tunaikan bukan tuntut..

Assalamualaikum warahmatullah,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. :) 

Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit pengisian tentang  satu sifat mulia Rasulullah s.a.w iaitu Ikram Muslimin. Semakin lama saya hidup di bumi Allah ini, semakin banyak yang saya pelajari tentang sifat ini. Dalam bahasa Melayu, maksudnya memuliakan sesama saudara muslim. Ianya juga salah satu akhlak terpuji Rasulullah s.a.w yang kemudiannya diikuti sahabat-sahabat baginda r.anhum. Akhlak Nabi s.a.w merupakan salah satu daripada sunnah Nabi. 

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan Akhlak manusia. Nabi s.a.w juga bersabda : Barangsiapa mencintai sunnahku, sesungguhnya dia mencintaiku dan barangsiapa mencintaiku, maka dia akan bersamaku di Syurga kelak. Mari sama-sama kita cuba untuk amal akhlak Nabi ini tanda cinta kita pada Allah dan rasulNya. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Moga-moga kita berpeluang bersama Rasulullah s.a.w di Syurga. Amiiin..ya Rabb..


Ikram Muslimin.
Bagaimana Rasulullah dan sahabat-sahabat amal sifat ini?
Rasulullah tunaikan hak-hak saudara muslim yang lain tanpa meminta balasan atau menuntut hak Baginda pula ditunaikan. Seperti kita sebagai ibu bapa hendaklah tahu hak yang kita patut tunaikan kepada anak-anak, dan juga kita sebagai anak, kena tunaikan hak terhadap ibu bapa kita. Hak seorang suami terhadap isterinya, begitu juga sebaliknya. Seterusnya, hak seorang sahabat kepada sahabatnya,hak jiran sesama jiran dan lain-lain lagi. 

Disebutkan dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda: Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain itu ada 6 perkara.
  1. Apabila kamu menemuinya, maka hendaklah kamu memberi salam kepadanya.
  2. Apabila dia menjemput kamu, hendaklah kamu memperkenankan jemputannya.
  3. Apabila dia meminta kamu memberi nasihat, hendaklah kamu menasihatinya.
  4. Apabila dia bersin lalu dia mengucap Alhamdulillah, hendaklah kamu berdoa kepadanya (dengan ucapan Yarhamkallah).
  5. Apabila dia sakit, hendaklah kamu lawatinya.
  6. Dan apabila dia mati, hendaklah kamu iringi jenazahnya.
(Hadis Riwayat Muslim.)
Hadis di atas merupakan antara hak-hak sesama muslim yang mesti ditunaikan. 
Seterusnya, Rasulullah s.a.w  juga sentiasa membantu sahabat-sahabat Baginda yang kesusahan tanpa meminta sahabat itu membalas balik kebaikannya. Sahabat-sahabat Baginda pula bersungguh-sungguh mengamalkan akhlak mulia ini sesama mereka. Ada beberapa sahabat yang sedang nazak di medan perang, mereka sama-sama haus tetapi mereka bertegas mendahulukan yang lain sehinggalah semuanya syahid tanpa sempat meminum air. Subhanallah! Berkat keikhlasan mereka mengamalkan sunnah Baginda, Allah satukan hati dan fikiran mereka untuk berjuang dan berkorban diri, masa, harta dan segala-galanya demi Allah. 

Ada banyak lagi sabdaan Rasulullah saw , antaranya yang lebih kurang begini maksudnya, "Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, janganlah menzaliminya dan jangan pula membiarkan dia dizalimi. Barangsiapa menunaikan hajat seorang saudara Islam yang lain maka Allah akan menunaikan hajatnya. Barangsiapa melepaskan kesusahan saudaranya, Allah akan melepaskannya dari kesempitan-kesempitan pada hari kiamat kelak. Barangsiapa yang menutupi keburukan saudaranya, maka Allah akan menutupi keburukannya di hari Akhirat".
Dan kita juga pernah membaca kisah-kisah islamnya orang-orang kafir  setelah Rasulullah membalas baik kejahatan mereka dan menunaikan hak mereka. Dari sini, kita dapat lihat bahawa sifat ini juga Baginda praktikkan kepada orang bukan Islam selagi mana tidak melanggar hukum Allah. Bagaimana sifat baginda yang lemah lembut dalam melayan insan-insan di sekelilingnya. Sifat memuliakan ini, bukan diamalkan hanya setakat kepada saudara seagama, tetapi juga terhadap orang kafir. 


Ada satu kisah yang berlaku antara baginda saw dengan seorang wanita kafir yang sudah tua. Setiap hari ketika hendak menunaikan solat di masjid, baginda akan melalui rumah wanita kafir tersebut. Dan setiap hari wanita kafir tersebut akan menghalang jalan baginda saw dengan meletakkan batu, kayu, duri dan najisnya sendiri. tetapi pada suatu hari, ketika baginda melalui rumah wanita kafir yang tua itu, tiada apa-apa yang diletakkan di atas jalan untuk menghadang baginda. Sesudah menunaikan solat, dalam perjalanan pulang baginda saw pun singgah di rumah wanita kafir tersebut. Rupa-rupanya wanita kafir tersebut terlantar sakit dan tidak berupaya untuk bangun. Maka Rasulullah saw menziarahinya dan menyediakannya makanan untuknya. Melihat mulianya akhlak Nabi Allah ini, wanita kafir itu merasa malu dan terharu atas layanan baginda saw terhadapnya. Dan akhirnya wanita tua itu tadi beriman kepada Allah swt. Lihatlah, dengan sifat menunaikan hak tanpa menuntut balasan, Allah membuka hati yang kotor untuk menerima kebaikan.


Akhir kalam, sekali lagi saya seru diri saya dan para sahabat sekalian untuk kita sama-sama berusaha untuk amal akhlak ini. Berlaku baiklah sesama saudara Muslim. Mari kita sempurnakan iman kita.. Sabda Nabi s.a.w: Tidak sempurna iman kamu selagi mana kamu tidak mencintai saudara kamu sepertimana kamu mencintai dirimu sendiri. 

Pesan dan peringatkan pada diri, jangan berbuat baik untuk mendapat balasan dari seseorang, kamu akan kecewa jika dia tidak membalasnya. Berbuat baiklah dengan Niat untuk Menyempurnakan Iman dan MENGHARAP REDHA ALLAH TAALA. Kita akan rasa bahagia bila dapat membantu dan membahagiakan orang lain walaupun kadang-kadang kita terluka dengan balasan yang diterima. InshaAllah, Susah payah kita amal suruhan Allah dan RasulNya akan diberi ganjaran oleh Allah Taala. 

Semoga Allah kurniakan saya dan kalian semua, Keikhlasan untuk beramal. Sama-sama juga  membetulkan niat amal, jangan kita tersilap niat untuk meraih pujian orang, meraih darjat, pangkat atau untuk menunjuk-nunjuk. Nauzubillah min dzalik. Setiap yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu dari kelemahan diri sendiri. Hakikatnya  kebaikan dan keburukan adalah dari Allah Taala. Salam cinta dan sayang kerana Allah. Allahu yubaariku fiik.. (^_^)

No comments: