Wednesday, December 22, 2010

The color of paradise


Suatu hari seorang anak dan ayahnya sedang duduk berbincang-bincang ditepi sungai. Kata ayah kepada anaknya, "Lihatlah anakku, air begitu penting dalam kehidupan ini, tanpa air kita semua akan mati."


Perbualan tersebut didengari oleh seekor ikan kecil dari bawah permukaan air, lalu ia terus menjadi gelisah dan ingin tahu apakah air itu, yang dikatakan begitu penting dalam kehidupan ini.

Ikan kecil itu pun berenang dari hulu sampai ke hilir sungai sambil bertanya kepada setiap ikan yang ditemuinya.

"Hai, tahukah kamu dimana air itu? Aku telah mendengar percakapan manusia bahawa tanpa air kehidupan akan mati."

Ternyata semua ikan tidak mengetahui dimana air itu berada, si ikan kecil mulai gelisah, lalu ia berenang menuju ke mata air untuk bertemu dengan ikan sepuh yang sudah berpengalaman.

Lantas ia mengajukan soalan yang serupa kepada ikan sepuh itu.

"Dimanakah air itu?"

Maka jawab ikan sepuh, "Tak usah gelisah anakku, air itu telah mengelilingimu, sehinggakan kamu tidak menyedari kehadirannya. Memang benar, tanpa air kita semua akan mati."

Manusia kadang-kadang mengalami situasi seperti si ikan kecil ini, mencari kesana kemari tentang erti kehidupan dan kebahagiaan, padahal mereka sedang menjalaninya.

Mereka diberikan oleh Allah mata tetapi tidak mahu melihat, mereka diberikan telinga tetapi tidak mahu mendengar, mereka diberikan hati tapi bak kata pepatah Melayu, 'ikut hati mati, ikut rasa binasa'.

Mereka leka dan telah dilupakan oleh khayalan dunia yang sementara ini. Jauh sekali untuk bersyukur dengan apa yang sedia ada.


THE COLOR OF PARADISE


Click Here to Watch it !

Semalam saya sempat menonton filem The Color of Paradise. Pertama kali menontonnya, saya sebak. Duhai, ini sebuah filem yang terlalu hebat. Jauh lebih baik berbanding filem yang memenangi anugerah Oscar yang lain.
 
Filem ini dibuka dalam layar gelap, yang kedengaran hanyalah suara. Suara si guru yang meminta si murid mengenal pita kaset kepunyaan mereka masing-masing.

Adegan pembukaan filem ini mengajak kita memahami dunia gelap yang dialami oleh orang buta, Mohammad yang berlatar belakangkan kehidupan kanak-kanak yang murni dan hidup tanpa prasangka.

Bukan kesan melankolik mahupun luapan emosi yang melatari filem ini. Tetapi ianya didasari oleh dunia yang gelap dan penuh warna, keterasingan dan keakraban, juga kekecewaan dan kegembiraan dalam sebuah kehidupan.


Meskipun berdepan konflik dengan ayahnya, ekspresi ketabahan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh Mohammad telah memberikan kekuatan tersendiri kepada filem ini.



Perasaan terasing, kecewa dan penderitaannya diluahkan dan ditangisi oleh Mohamad kepada tukang kayu yang juga buta yang lebih memahami perasaan insan senasib dengannya dalam adegan yang cukup menyayat hati.



Saya begitu terkesan apabila melihat telatahnya yang cuba merasa tiupan angin, menyentuh dedaun dan air, menghembus bebunga, malah menyentuh pipi neneknya serta adik-adiknya.


Matanya buta tetapi dia cuba melihat semua itu dengan sentuhan dan rasa.

Tanpa perlu pesanan moral yang begitu mengajar, filem ini secara sensitif dan bijaksana mengajak kita untuk berkongsi erti kehidupan yang sebenarnya. Sebenarnya, masih ramai lagi insan yang tidak senasib dengan kita.

Bersyukurlah.

ERTI SYUKUR




Ketika Saidina Umar al-Khattab mengerjakan tawaf, beliau terdengar doa seorang lelaki, "Ya Allah masukkanlah aku dalam kumpulan orang yang sedikit."

Terkedu juga Amirul Mukminin dengan doa yang agak ganjil itu. Biasanya manusia suka kepada kumpulan ramai. Jika pengikut ramai lagi hebat, kukuh dan gah kita tetapi lain halnya dengan lelaki ini.

Apabila ditanya, rupa-rupanya lelaki itu menjelaskan: "Tidakkah tuan membaca di dalam Al-Quran, Allah berfirman bahawa sedikit sahaja di kalangan ummatNya yang bersyukur."

Tersenyum Saidina Umar.

Sangat ramai di kalangan manusia kini sibuk berfikir bagaimana hendak memenuhi setiap impian yang diidamkan. Sebaliknya terlalu sedikit pula yang berfikir bagaimana hendak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dengan apa yang telah dimiliki.

Hakikatnya, dunia ini sudah dibanjiri oleh lautan manusia yang buta hati.

Tepuk dada, tanyalah diri sendiri.

Adakah kita seorang yang bersyukur?


Retrieved from http://jundumay.blogdrive.com/archive/cm-3_cy-2009_m-3_d-5_y-2009_o-3.html

No comments: