Monday, December 6, 2010

1 Muharram..

Salam awal Muharam buat semua hamba Allah. Alhamdulillah wa Subhanallah, segala puji bagi Allah kerana dengan rahmat kasih sayangNya, hingga saat ini, kita hidup sebagai seorang muslim. Semoga dengan kedatangan Sanah Jadid ini, kita mampu memasang azam dan menguatkan usaha untuk belajar, fahami, amal dan sebarkan agama dalam kehidupan. InshaAllah...aamiiin. Bercakap tentang azam dan usaha, kedua-duanya berkait rapat dengan Qalbun yakni Hati. Sabda Nabi s.a.w:

عن ابن عمر رضي الله عنه قال: قال رسولالله صلى الله عليه وسلم : ان هذه القلوب نصدأ كما يصدأ الحديد اذا أصابه الماء 
قيل يا رسول الله : وما جلائها؟ قال: كثرة ذكرالموت وتلاوة القرآن   

Terjemahan Hadis: Hazrat Ibnu Umar r.anhu meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya hati-hati ini akan berkarat sebagaimana besi berkarat apabila terkena air. Baginda ditanya: Ya Rasulallah, apakah penggilapnya? Rasulullah s.a.w bersabda: Banyak ingatkan maut dan membaca Al-Quran. (Hadis Riwayat Baihaqi)
Dosa-dosa dan kelalaian seseorang hamba mengingati Allah Taala akan menyebabkan hati berkarat sepertimana besi yang akan berkarat apabila terkena air. Membaca Al-Quran dan mengingati maut dapat menyinarkan kembali hati-hati itu. Hati juga seumpama sebuah cermin, sebanyak mana hati itu kabur dengan dosa, sebanyak itulah kurangnya pantulan cahaya ma'rifah dan sebanyak mana hati itu bersih jernih, sebanyak itulah pantulan cahaya ma'rifah akan jelas dan nyata pada hati itu. 


Disebutkan dalam beberapa hadis, apabila seseorang hamba melakukan satu dosa maka satu titik hitam akan terlekat pada hatinya. Sekiranya dia ikhlas bertaubat, titik hitam itu akan hilang. Jika dia melakukan satu dosa lagi, titik hitam lain akan muncul dan ia berterusan sekiranya dia terus menerus melakukan dosa. Lama-kelamaan hati itu akan menjadi hitam legam. Akibatnya, hati sebegini tidak akan mampu mendorong pemiliknya kepada kebaikan sebaliknya hati ini akan sentiasa condong ke arah keburukan. Na'uzubillahi min dzalik. 

Memetik satu lagi hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: Aku meninggalkan dua penasihat, satu yang berkata-kata dan satu lagi yang diam. Yang berkata-kata itu ialah AL-QURAN dan yang diam itu ialah MENGINGATI MAUT.  Juga satu pesanan seorang alim: Ramai orang melihat tanah perkuburan sebagai tempat mengebumikan orang mati semata-mata. Tidakkah ramai yang sedar, kubur boleh menjadi salah satu dari taman-taman syurga dan kubur juga boleh menjadi salah satu dari lubang-lubang neraka. Semuanya bergantung dengan amal kamu di dunia.

 
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan menggolongkan kita dalam kalangan hambaNya yang soleh. Aamiiin..

Sumber: Himpunan Hadis Tentang Al-Quran

No comments: