Sunday, December 26, 2010

Cinta Sejati Seorang Ibu


Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap  menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang  dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya.  Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula  bercakap dalam bentuk syair.

Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita  itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan  orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang  bernama Sakhr :

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula  masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat. Kalaulah tidak  kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat  mereka, nescaya aku bunuh diriku."

Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair  telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam.

Beliau mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan  dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan  untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah  mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi  peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu  pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua umat Islam dari berbagai  kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka berkumpullah  seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat  puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa  sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang  bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.

Nasihat Khansa kepada anak-anaknya, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan  rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah,  yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah  putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah  mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu,  aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah  mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh  Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah  bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang  binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang  bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah  kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada  Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung."

Putera-putera Khansa  tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.

Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insyaAllah  dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu.  Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika  kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh  api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan  dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga  kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat  tinggal yang kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang  masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh,  kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau  syurga.



Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah  memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang  berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga  bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan  tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat  tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat  dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa  takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka  bersyair,

"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah  memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang  keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. InsyaAllah akan kita  buktikan sedikit masa lagi."

Kemudian dia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul  pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar.  Dengan semangat yang berapi-api dia bersyair,

"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami  Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah  bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama  sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."

Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,

"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang.  Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal  cemerlang. Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap  anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah  untuk mempertahankan diri. Dapatkan kemenangan yang bakal membawa  kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi  kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,

"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan dan bukanlah pula  kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal. Kalau aku tidak  membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang  bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku."

Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk  mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di  garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya  kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan  tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki  berlindung di belakang binatang tahan lasak itu.

Namun tentera Islam  dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan  bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan  menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang  lainnya.

Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan  mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya,  akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh  pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah  teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil saja yang dapat  menyelamatkan diri.

Umat Islam lega.

Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang  gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu  berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu  terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah  tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa  keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita  itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus  memuji Allah dengan ucapan,

"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan  mereka, dan aku mengaharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku  dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"

Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih  hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran  Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat  gelaran kehormatan 'Ummu syuhada' yang ertinya ibu kepada orang-orang  yang mati syahid.


p/s:uhibbuki ya ummi...

No comments: