Friday, April 23, 2010

Iman Dan Sabar

Assalamualaikum, post kali ini berbentuk cerita. Cerita ini merupakan sebahagian dr novel Sinergi karya Hilal Asyraf. Sekadar perkongsian dengan sahabat2 utk sama2 kita koreksi diri kita yg memang x terlepas dr melakukan dosa2. Syaitan xkan mengalah sehingga dia berjaya mengumpul sebanyak mungkin manusia utk bersama2 mereka di neraka kelak. Na'uzubillahi mindzalik. Bg sahabat2 yg nak tahu kesudahan ceritanya, boleh beli dan baca novel ini. Insya Allah ada byk hikmah dan manfaat yg kalian dpt ambil dan amalkan. Apapun Al-Quran jgn sesekali ditinggalkan, ia KALAMULLAH, ia nur utk hati sseorg hamba, makanan buat jiwa kita yg lemah. Barakallahu lakum...

Jangan engkau marah

Diulang tiga kali

Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar

Apakah yang membuatkan kau meyakini?

Hanyalah apabila keimanan itu membaluti hati-hati

Faiz Hamzah membulatkan mata. Separuh tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Dadanya berdegup kencang. Apa yang baru dilihatnya tadi, membuatkan dia pantas mengklik tutup pada tetingkap Mozilla Firefox yang digunakan untuk melihat blog PERMAI.

“Ya Allah…” Faiz Hamzah perlahan-lahan membuka semula blog rasmi PERMAI.

Nampaknya dia tidak tersalah lihat. Blog itu kini penuh dengan pelbagai gambar lucah. Pengisian-pengisian yang selama ini menjadi makanan rohani kepada yang singgah, telah hilang semuanya. Penuh dengan pornografi yang sebaliknya, meruntuhkan keimanan manusia.

“Apa dah jadi ni?” Faiz Hamzah risau. Dia menggerakkan kursor supaya membawa tetingkap ke bawah. Gambar-gambar porno yang terpampang, seboleh mungkin tidak dipandang.

Akhirnya dia bertemu sesuatu di bahagian bawah blog.

“Ini akibatnya kalau cakap banyak fasal kami!”

Dan terdapat dua perkataan sebagai tanda nama penghantar.

Disaster Five!

Faiz Hamzah segera menutup tetingkap mozilla firefox. Dadanya turun naik. Bibirnya mengucap istighfar berulang-ulang. Kenapa sampai begitu sekali lima orang itu bertindak? Faiz Hamzah tidak faham.

“Kenapa Baha? Muka macam mayat aja?” Firdaus yang baru pulang, berhenti sebentar di muka pintu bilik Faiz Hamzah.

“Blog PERMAI kena serang dengan Disaster Five la. Penuh dengan pornografi”

Firdaus terkejut besar. “MasyaAllah… apa yang mereka ni nak sebenarnya?”

“Mungkin marah kerana tuduhan sebahagian besar orang terhadap mereka baru-baru ini” Faiz Hamzah cuba mencari rasional. Seboleh mungkin dia berusaha untuk tidak marah. Sebagai pemimpin, jika emosi boleh membuatkan pertimbangan yang salah.

Keputusan pemimpin mesti dibuat atas dasar keimanan. Atas neraca Allah SWT. Bukannya mengikut nafsu diri dan kepuasan hati. Barulah apa yang dipimpin berjalan dalam lingkungan keredhaan Allah SWT.

“Dah mereka jahat sangat. Buat huru-hara itu ini. Mana orang tak mengamuk?” Firdaus melepaskan rasa tidak puas hatinya.

Faiz mengangguk-angguk. “Tak apalah Firdaus. Jangan kau panjang-panjangkan benda ni. Biar aku uruskan.”

Firdaus menghela nafas. Dia tahu Faiz Hamzah seboleh-bolehnya berusaha memberikan yang terbaik, bertindak seadil mungkin. Menjadi pemimpin, tidak boleh membuat keputusan berdasarkan pendapat individu tertentu mahupun diri sendiri sahaja. Perlu ada musyawarah dan pertimbangan yang baik.

Ketika ini, telefon Faiz Hamzah berbunyi. Segera diambilnya telefon bimbit itu. Sempat dia melihat nama pemanggil. Hazim, Biro Multimedia PERMAI.

“Asslamu’alaikum Hazim,”

“Waalaikumussalam, Baha, kau dah tengok blog?”

“Dah. Teruknya.”

“Aku rasa mereka boleh pecahkan password kita dan tukar coding di dalamnya la. Sebab tu jadi macam itu”

“Habis, kau boleh buat apa-apa tak?”

“Aku rasa, buat masa sekarang aku akan halang blog PERMAI dari dimasuki sesiapa. Kita tak mahu la ramai ahli buka dan dapat dosa macam itu sahaja. Selepas itu aku akan usahakan cara untuk bersihkan blog itu”

“Terima kasih Hazim. Kalau kau tak telefon, aku memang nak minta tolong kau”

“Tak ada halnya Baha. Ini memang kerja aku. InsyaAllah, lepas ini aku akan ketatkan lagi blog PERMAI punya pertahanan. Tak sangka pula ada orang hebat dalam bidang perkomputeran sampai boleh pecah masuk blog orang di PERMAI ni”

Faiz Hamzah mengangguk. Benar. Nampaknya, Disaster Five ini lebih dari sekadar lima orang yang suka mengenakan orang. Pada mereka ada potensi yang besar. Cuma disalah guna.

“Baiklah Baha. Assalamu’alaikum”

“Waalaikumussalam” Faiz Hamzah meletakkan semula telefon bimbitnya.

Dia mengambil masa bertenang. Ini adalah ujian. Dia tidak boleh lekas melatah. Tetapi tidak lama kemudian dia terfikir. Ini dia, bagaimana seluruh warga PERMAI? Pasti sudah ada yang melihat blog PERMAI tadi? Tindakan berani Disaster Five pastinya menimbulkan kekecohan yang besar.

Faiz berfikir panjang. Risau juga dia andai ada ahli PERMAI yang terus menyerbu Disaster Five, lantas menimibulkan kekasaran yang tidak dikehendaki. Dia tidak mahu wujud pergaduhan di dalam PERMAI. Kalau boleh, biar semua masalah diselesaikan secara berhikmah, professional dan tidak membawa kepada perpecahan. Biarlah PERMAI ini menjadi satu tempat yang harmonis, orang-orangnya berlapang dada, dan boleh bertolak ansur. Kalau ada yang salah, dibetulkan dengan baik, manakala yang baik dipertingkatkan lagi kebaikannya.

Jadi macam mana hendak mengajak seluruh ahli PERMAI agar bersatu hati berhadapan dengan ujian ini?

*****

Rumah Ikhwan Subberi penuh. Suasana ini hanya akan berlaku pada sesi Intropeksi Iman. Satu sesi yang diwujudkan oleh PERMAI sebagai titik muhasabah dalam seminggu bagi ahli PERMAI. Bagi yang kelapangan, sesi ini akan diadakan selepas Isya’, seminggu sekali. Harinya tidak tetap. Dipilih mengikut kesesuaian minggu itu.

Akan ada giliran untuk yang mengendalikan Intropeksi Iman. Tema program ini adalah: Duduk Sebentar Dan Beriman. Program yang dijalankan selepas Isya’ ini diadakan atas dasar bahawa yang menggerakkan kehidupan seorang hamba untuk terus mengejar keredhaan Allah adalah keimanan. Hanya dengan keimanan, masalah-masalah kehidupan dapat diselesaikan. Maka diadakan program ini sebagai wasilah untuk memuhasabah keimanan ahli PERMAI, kerana sesungguhnya keimanan insan itu naik dan turun lumrahnya.

“Mereka tu memang dah melampau la”

“Sampai ke blog PERMAI pun diserangnya”

“Gambar lucah pula tu”

“Mereka tu ingat mereka siapa ha? Aku bengang la”

“Kita patut ajar ja mereka tu. Sabar-sabar buat apa?”

Rumah Ikhwan Subberi itu dihangatkan dengan suara-suara yang terkesan dengan perbuatan Disaster Five. Serangan ke atas blog rasmi PERMAI adalah sesuatu yang paling tidak boleh diterima oleh warga PERMAI seluruhnya. Sebaik sahaja kes itu berlaku, YahooGrup PERMAI penuh dengan kritikan-kritikan panas terhadap kumpulan itu. Hinggakan, kepimpinan PERMAI pun diungkit kredibilitinya dalam menangani masalah ini.

Semua orang menginginkan agar lima orang bermasalah itu dibuang keluar dari masyarakat PERMAI. Ramai yang sudah tidak tahan dengan perbuatan mereka berlima. Tidak cukup membuat kacau di Universiti, dibulinya pelajar-pelajar semasa di luar masa belajar, kini diserangnya pula PERMAI. Menunjukkan keberanian yang teramat sangat.

Faiz Hamzah tunduk sahaja. Tenang dan sabar. Syafiq Ali di sebelahnya menggosok belakang tubuh Presiden PERMAI itu. Memberikan semangat. Faiz Hamzah tersenyum.

“Ramai nampaknya tak puas hati dengan Disaster Five” Syafiq memandang sekeliling.

Erman mengangguk. “Tapi patut ke sampai nak hentam mereka begitu sekali?”

Syafiq memandang Erman dengan hairan. “Aku pelik la dengan kau. Kenapa kau bela sangat mereka tu?”

“Aku bukan bela. Cuma aku hairan. Adakah begini cara Islam ajar untuk berurusan dengan orang yang berdosa?” Erman bertanya.

Syafiq diam. Faiz Hamzah di sebelah Syafiq Ali terdengar pertanyaan Erman.

“Erman, soalan kau tepat. Dan jawapannya tidak. Islam tidak mengajar pendosa itu perlu diperlakukan dengan kekerasan. Lebih-lebih lagi yang melakukan dosa tanpa kefahaman. Pendosa, kalau perlu dihukum pun, hukumannya perlu secara terhormat dan adil. Jika tidak faham, perlu difahamkan”

Erman diam mendengar jawapan Faiz Hamzah. Presiden itu nampak amat rendah diri.

“Hari ini siapa bagi Intropeksi?” Syafiq Ali memandang Faiz Hamzah.

“Aku jemput orang yang boleh pengaruhi seluruh warga PERMAI ni”

Syafiq memandang Faiz Hamzah. Erman juga tertarik dengan kenyataan yang dibuat. Siapa?

Tidak lama kemudian, pintu rumah Ikhwan terbuka. Hawa sejuk masuk ke dalam rumah yang hangat itu. Asid muncul dari balik pintu.

“Maaf lambat. Sheikh Makmun tahan penceramah kita sekejap tadi.” Asid bersuara riang.

Kemudian Irfan muncul dari belakang Asid. “Tepi la, aku nak masuk”

“Oh, maaf, maaf. Silakan Ustaz Irfan” Asid terus bergerak ke kawasan yang kosong. Irfan menggeleng dengan ulah Asid. Kat mana-mana pun dengan gaya selambanya itu. Mujur kalau masa buat kerja, seriusnya solid.

Irfan bergerak ke tempat penceramah. Dialah yang dikatakan Faiz Hamzah tadi. Sebaik sahaja dia hadir, semua yang ada senyap. Suara-suara yang bersembang diam.

Irfan memandang Faiz Hamzah. Dengan isyarat mata, Faiz Hamzah meminta Irfan memulakan Intropeksi Iman pada hari ini.

Tenang. Dia menarik nafas. Memandang semua warga PERMAI lelaki yang hadir. Intropeksi iman terbahagi kepada dua. Untuk perempuan dan untuk lelaki. Yang lelaki akan diuruskan oleh kepimpinan lelaki, yang perempuan akan dijalankan oleh pihak kepimpinan perempuan. Yang memberikan ceramah tidak semestinya ahli barisan kepimpinan. Biro Pembangunan Minda dan Kendiri telah ditugaskan untuk membuat jadual, dan penceramahnya akan bergilir-gilir mengikut siapa yang ada potensi untuk membuat penyampaian. Kadangkala, sesi ini menjadi medan untuk melatih ahli PERMAI berani berucap.

Irfan memulakan bicaranya dengan memuji Allah SWT dan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Kemudian dia mengucap kata hormat kepada Presiden PERMAI dan AMT serta AMM yang hadir. Akhirnya, dia melayangkan salam kepada semua.

“Assalamu’alaikum, kepada semua warga PERMAI, keluarga ana yang ana cinta”

Bila kata-kata itu dilafazkan, seakan-akan ada air sejuk yang menyimbah di atas kepala semua yang hadir. Kata-kata itu bukanlah satu diksi yang kompleks, atau ayat sastera yang berselirat, tetapi ia adalah satu kata-kata mudah, yang datangnya dari keikhlasan di dalam hati. Apa yang disampaikan dari hati, akan sampai juga kepada hati.

“Hari ini, kita duduk bersama-sama, untuk kembali muhasabah keimanan kita. Intropeksi Iman ini, adalah medium kita untuk muhasabah diri, di samping berkongsi ilmu yang ada. Seminggu sekali, dalam intropeksi iman ini, kita duduk sebentar beriman. Bukan beriman sebentar sahaja, tetapi kita hendak bawa iman ini dalam seluruh kehidupan kita. Yang sebentar itu adalah masa untuk kita cas kembali keimanan kita.” Irfan menebarkan pandangannya.

Semua mendengar dengan khusyuk. Ramai yang memandang wajah Irfan.

“Hari ini, ana ingin membawakan satu hadith yang masyhur kepada semua, sebagai muhasabah diri kita”

Semua ternanti-nanti. Irfan juga bijak, dia tidak gopoh dalam memberikan penyampaian. Dia bijak bermain psikologi.

“Satu hari datang seorang pemuda kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, berikan aku nasihat”

Irfan senyap lagi. Memandang semua. Dia memang suka begitu. Menarik perhatian. Mengumpul rasa ingin tahu. Berkomunikasi dengan perasaan.

“Rasulullah SAW menjawab…” Berhenti lagi. Semua ternanti-nanti. Mata Irfan menentang semua mata yang memandangnya.

Jangan kamu marah” Irfan menyempurnakan.

Hati-hati ahli PERMAI yang hadir seakan dipanah. Belum lagi penjelasan diberikan, tetapi hadith itu seakan-akan mengenai jiwa-jiwa mereka, membasuh hati-hati mereka.

Irfan memang bijak. Dia tahu situasi dan kondisi ahli PERMAI. Sudah beberapa orang pelajar datang mengadu kepadanya. Kepimpinan PERMAI juga pernah berjumpa dengannya. Ya la, siapa yang tahan hendak berbuat baik selamanya kepada orang yang berbuat onar kepada kita. Akhirnya, kes yang terbaru, blog PERMAI diserang, menyebabkan Faiz Hamzah bertemu dengannya secara individu, agar mampu mengajak ahli PERMAI merasionalkan diri dan bersabar.

“Lelaki itu bertanya lagi, apakah ada lagi nasihat yang lain?” Irfan menyambung.

“Rasulullah menjawab, jangan kamu marah”

“Sekali lagi lelaki itu bertanya”

“Rasulullah SAW tetap menjawab, jangan kamu marah”

Irfan berhenti. Memandang semua warga PERMAI yang hadir.

“Maka wahai keluarga ana yang ana cinta, ana hari ini hendak memperingatkan kalian perkara yang sama telah Rasulullah SAW wasiatkan kepada lelaki itu. Janganlah kamu marah”

Warga PERMAI yang hadir seakan-akan tenggelam dalam kata-kata Irfan. Irfan meneruskan penyampaiannya dengan mengingatkan betapa sabarnya Rasulullah SAW dalam mengajak ummah kepada Islam. Dengan ketabahan baginda itulah, manusia hari ini dapat menikmati nikmat iman dan Islam.

Andai Rasulullah SAW dahulu marah-marah, benci-benci, maka iman dan Islam itu tidak akan dirasai manusia hari ini, dan perjalanan dakwah itu akan terbantut.

Berjaya sabar adalah ukuran kondisi seseorang. Sabar tak bererti kalah. Malah yang sabar itu adalah yang menang. Dimenangkan oleh Allah SWT di sisi-Nya.

“Apakah kemuliaan yang lebih besar, apakah kesenangan yang lebih besar, selain Allah SWT bersama kita?”

Irfan pun membaca penghujung ayat 249 Surah Al-Baqarah: “Dan Allah itu bersama orang-orang yang sabar”

“Allah bersama kita wahai sahabat-sahabat. Maka apakah besarnya dugaan yang datang, berbanding dengan besarnya Allah SWT bersama kita?”

Kata-kata itu terus-terusan mengetuk hati-hati yang hadir.

Erman memandang kiri dan kanan. Telinganya ada menangkap bunyi sedu.

“Ada orang menangis?” Hatinya pelik.

Dia hendak bertanya Faiz Hamzah. Tetapi Faiz Hamzah telah menutup mata dengan tangan. Nampak macam khusyuk menghayati apa yang diperkatakan.

Erman memanjangkan leher, memandang semua yang hadir, majoritinya seperti Faiz Hamzah. Malah, ada yang mengalir air matanya dalam keadaan kepalanya terangkat memandang Irfan yang memberikan penyampaian.

Erman memandang Irfan yang sedang memberikan penyampaian.

“Apakah ini?” Katanya di dalam hati.

“Namun siapakah antara kita yang yakin bahawa Allah SWT bersamanya saat dia diduga? Siapakah antara kita yang yakin bahawa Allah SWT itu bersamanya saat marahnya dijungkit?” Irfan melontarkan pertanyaan.

Semua senyap.

“Jadi akhirnya, iman kita juga yang membantu kita, untuk merasai bahawa Allah SWT itu ada bersama dengan kita, ketika kita sabar. Apabila kita sabar, Allah SWT bersama kita! Dan manusia yang beriman sahaja mampu merasakannya” Irfan terus berbicara.

“Siapa yang tidak merasa Allah bersama dengannya ketika dia sabar? Siapa yang rasa bahawa sabaranya itu sia-sia? Maka jangan tanya kenapa diri tidak boleh sabar. Jangan tengok diri, emosi dan sebagainya. Mari kita tengok dan periksa kembali iman kita. Bila kita tidak mampu bersabar, sebenarnya iman kita ada masalah. Kerna imanlah yang menjadikan kita yakin bahawa Allah SWT bersama dnegan kita”

Kata-kata itu ibarat bom. Hati-hati yang hidup akan meledak dengan kata-kata itu.

“Kita tengok Saidina Ali. Dia tidak memenggal kepala yahudi yang meludahnya ketika peperangan, walaupun dia berada di atas yahudi itu. Kenapa? Kerana dia takut, dia membunuh yahudi itu bukan kerana Allah SWT, tetapi kerana mengikut nafsu amarah. MasyaAllah…” Irfan bermain intonasi. Sebentar tinggi, sebentar rendah. Bermain ritma, menggetarkan gegendang telinga dengan alunan suara yang mampu menggetarkan jiwa pendengarnya.

“Sedang memegang pedang, diludah, sudah berada di atas musuh, tetapi Saidina Ali boleh tidak meneruskan pancungannya. Malah berkata: Aku takut aku membunuh kamu, hanya kerana aku marah, bukan kerana Allah. Inilah dia orang yang beriman. Bagaimana kita? Bagaimana kondisi kita?”

Senyap. Suasana sangat sepi. Bunyi kipas berpusing sahaja kedengaran. Sekali sekala angin sejuk menyapa.

“Jadi marilah kita bersabar atas segala duga. Janganlah kita mudah melenting dengan ujian yang tiba. Yakinlah, Allah SWT itu bersama kita. Mari kita muhasabah, dan koreksi kembali keimanan kita. Kita tidak mahu, keimanan kita tergadai hanya kerana beberapa orang sahaja. Malah, kita mahu, beberapa orang itu, merasakan apa yang kita rasa dengan keimanan ini”

Irfan pun menutup penyampaiannya. Ringkas. 10 minit sahaja. Tetapi ibarat air yang memberikan kesegaran kepada tumbuhan.

“MasyaAllah, masyaAllah…” Faiz Hamzah menggelengkan kepala. Mungkin dia juga sedang muhasabah dirinya.

Walaupun Irfan tidak sedikit pun menyentuh isu Disaster Five, kebanyakan orang yang hadir merasakan bahawa Irfan sedang mengajak mereka untuk bersabar dan terus berusaha mendekati Disaster Five, berbuat baik kepada mereka.

Yang merungut kepada Irfan selama ini terasa. Yang selama ini mengutuk-ngutuk Disaster Five di belakang terasa. Yang selama ini terasa dengan Disaster Five pun terasa. Masing-masing rasa bersalah. Masing-masing merasakan keimanan mereka ada masalah. Ketika ini, masing-masing menyimpan hajat, berusaha untuk lebih sabar menghadapi segala dugaan. Bukan sahaja Disaster Five, tetapi dugaan-dugaan lain dalam perjalanan sebagai hamba Allah SWT.

Kuncinya, iman kepada Allah SWT.

Majlis ditutup dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-‘Asr.

Hati-hati yang basah ini bersalaman. Kebanyakannya mengucap terima kasih kepada Irfan. Penyampaian itu memang kena pada masanya. Irfan bijak memahami situasi mereka.

Suara-suara mengutuk Disaster Five sudah tidak kedengaran lagi. Semua keluar dengan senyap, mahupun bersembang berkenaan perkara lain. Tiada lagi amarah yang berapi terhadap Disaster Five. Semuanya seakan sedar akan kesilapan masing-masing.

Syafiq membesarkan mata. Hampir sahaja tidak percaya bahawa suasana beegitu berbeza, sebelum dan selepas intropeksi. Dia memandang ke arah Irfan yang masih lagi sedang bersalaman. Erman pula menenung bekas Presiden PERMAI itu. Wajahnya, wajah tidak senang.

“Kenapa?” Suara Syafiq Ali, mengembalikan kedua-dua sahabat itu ke alam nyata.

“Eh, tak ada apa-apa” Syafiq tersengih sendiri.

Erman, masih terus memandang Irfan.

Tanpa disedari sesiapa, ada seorang asing yang menyertai Intropeksi Iman pada hari itu. Dia menutup bahagian hidung ke dagunya dengan mafla. Menutup bahagian kepala dengan sarung kepala baju sejuknya. Duduk di barisan paling belakang.

Memandang, mendengar, semua yang disampaikan Irfan, dan melihat semua suasana di rumah Ikhwan.

*****

“Eh, kau perasan tak satu benda?” Wafiq menepuk bahu Muiez. Rakannya itu menurunkan headphone dari telinga.

“Apa dia?” Muiez tidak mendengar soalan tadi.

“Kau perasan tak, dua tiga hari ni dah tak ada dah ahli PERMAI yang bising fasal kita?” Wafiq menimbulkan persoalan.

Muiez berfikir sebentar. “Ha’ah, ya tak ya juga kan?”

“Kenapa ya? Aku hairan tahap giga ni” Wafiq memandang keluar tingkap. Berfikir.

Muiez pun diam. Mengetuk dagu dua tiga kali dengan telunjuknya. Kenapa ya? Dia pun hairan. Selepas Wafiq bertanya ini, baru dia perasan sesuatu. Bukan sekadar sudah tiada ahli PERMAI yang mengutuk atau mengeji mereka seperti sebelum ini. Malah, kebanyakan ahli PERMAI akan memberikan salam jika bertemu mereka baik di universiti, mahupun di jalanan Irbid ini.

“Kena sampuk kut?” Muiez berseloroh.

“Banyak la kau.” Wafiq menolak kepala Muiez.

“Aku rasa, mereka semua dah bertransformasi sebab kau buat keracunan makanan sebelum ni”

“Kalau aku, aku rasa mereka semua berevolusi sebab tengok kerja yang kau buat pada blog rasmi PERMAI”

Akhirnya mereka berdua ketawa. Tiada antara mereka yang faham kenapa semua itu berlaku. Mereka tidak menyertai Intropeksi Iman, jauh sekali membaca apa yang dibincangkan dalam YahooGrup PERMAI yang kini penuh dengan peringatan dan muhasabah agar ahli PERMAI terus bersabar dan tabah.

Satu perkara yang wujud dalam masyarakat PERMAI, yang membuatkan mereka kuat adalah iman. Iman menjadi penyatu mereka. Apabila iman ini disegarkan, maka mereka akan segera tersedar dari kelalaian. Perbezaan besar buat yang tidak faham dan tidak mempunyai keimanan.

Yusuf yang sedari tadi khusyuk dengan kerjanya sendiri, mencuri dengar perbualan Wafiq dan Muiez. Namun dia pura-pura tidak mendengar. Tidak mahu masuk campur. Tidak mahu memberikan pendapat. Dia memang orang yang agak senyap kalau tiada apa yang dirasa ingin dibicarakan.

Perlahan-lahan matanya menyorot pada dompetnya. Sekali lagi, surat yang terselit pada dompetnya itu dilihat.

Yusuf menghela nafas.

Kenapa di dalam jiwanya, ada sesuatu yang kurang senang bermain-main?

Perasaan aneh yang tidak mampu diertikan dalam bicara.

Seakan rasa perlu yang meronta-ronta.

4 comments:

faathah said...

dah beli ke sinergi?? ni saya rasa teringin sangat nk baca ni :0

Annisa Asyifa said...

salam tehah...sy x beli lg sinergi..dah cr kt popular tp xdop. Novel yg awk tunggu2...Cinta Sufi ad dah kt popular. Tp sy x beli sbb baru lg beli VT. Kna jimat cermat lu..(^_^)

Anonymous said...

sinergi......ana dh baca dah. best sgt crite nie.elok untuk dibaca..

Kak mntak kat mana?-aishah

Annisa Asyifa said...

salam aishah..bestny aishah da bace..beli kat mn?

mntak kt mana? k.slhah mnta kat mana2.. :D Aishah tolong doa agr k.slhah n kwn2 dpt masuk u terbaik buat kami dan dpt kos yg terbaik,ssuai dr Allah. Aishah pn study leklok.. Man yajtahid yanjah!