Sunday, May 8, 2011

Ummiku sayang..

Mereka adalah golongan yang saya kagumi dalam hayat saya.
Golongan yang saya hormati apabila berjumpa. Golongan yang saya cintai di dalam jiwa.
Hal ini kerana, mereka adalah bidadari di dalam jiwa saya. Yang kalau saya diletakkan di tempat mereka, nescaya saya tidak akan terdaya melakukan apa yang mereka lakukan. Maka mereka letak sebagai antara motivasi saya dalam kehidupan. Sebagai pengingat bahawa mereka manusia, saya juga manusia, dan mengapakah mereka boleh sedemikian dan saya pula berputus asa?
Maka saya akan bangkit setiap kali terkenangkan mereka.
Siapakah mereka? Siapakah golongan bidadari ini?
Itulah dia yang manusia gelar sebagai Ummi, Ibu, Mama, dan pelbagai gelaran yang lain lagi.
Artikel ini, sempena Kempen Sayang Ibu di Langit Ilahi, saya hadiahkan buat mereka, juga buat kita bagi menghargai mereka.

Melihat mereka, terasa kerdil diri dan jiwa
Bangun awal menyiapkan segala. Makan sarapan. Pakaian anak-anak dan suami. Ada pula yang menghantar anak ke sekolah. Belum dikira yang kemudiannya perlu pergi bekerja di pejabat. Tidak dilupakan dia juga seperti manusia yang lainnya, perlu sujud dan beribadat kepada Allah di Subuh hari.
Ke sana ke mari dengan rencah kerja duniawi, pulang keletihan menjadi suri kepada rumah sendiri. Kerenah anak-anak. Perangai suami. Sikap diri. Semuanya perlu ditangani. Masalah negara, kewangan keluarga, semuanya perlu difikirkan dan dimasukkan ke dalam kalkulasi.
Lipat baju kain yang dibasuh sidai di kala pagi, memasak makan malam walau kepenatan kerja masih terasa buat diri, mengemas rumah yang dikotorkan keluarga, perlu pula melihat prestasi anak-anak apakah merosot atau boleh dibangga. Belum dikira lagi urusan dengan tetangga, keluarga mertua dan keluarga sendiri. Macam-macam.
Dan itu semua bukan dilakukan pada hari-hari tertentu.
Setiap hari.
365 hari setahun. Dan puluhan tahun sepanjang kehidupannya.
Belum kita kira saat mereka melahirkan anak-anak. Sakitnya tidak terperi. Jangan dicerita angkuh bahawa lelaki mampu menangani. Sudahlah susah melahirkan insan, susah pula hendak membesarkannya. Tidur terganggu dek rengekan, terpaksa merendahkan diri mencuci najis melayan muntah, dan bila anak-anak membesar membawa pula pelbagai kerenah.
Namun bidadari-bidadari bergelar Ibu, Ummi, Mama itu nyata tabah.
Ya. Siapakah yang memerhatikan mereka dan belajar?
Belajar untuk mengharungi kehidupan dengan tabah?

Sebab itu, tempat mereka tinggi di sisi Allah.
Lihatlah bagaimana Allah memuliakan Ibu Bapa.
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. Surah Luqman ayat 14-15.
Hatta jika Ibu adalah yang mengingkari perintah Allah SWT pun, hormat adalah perkara yang diharamkan terhadap insan untuk ditinggalkan daripada mereka. Hanya perlu membangkang jika mereka menyuruh kepada jalan yang menyimpang. Tetapi masih, bangkangan itu perlu dengan penghormatan.
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘uf’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” Surah Al-Israa’ ayat 23.

Dan mereka dimuliakan oleh Ahli Syurga.
Satu hari, seorang lelaki pergi ke rumah Saidina Umar Al-Khattab. Dia hendak mengadu yang isterinya pada hari itu naik angin kepadanya. Dia merasakan bahawa, isterinya tidak patut bersikap demikian pada suami.
Sampai sahaja di pintu rumah Saidina Umar, dia mendengar isteri Saidina Umar memarahi Amirul Mu’minin itu. Lelaki itu terkejut. Lantas, dia pun berpatah balik, untuk pulang. Saidina Umar perasan akan kehadiran lelaki itu, terus memanggilnya semula.
“Wahai lelaki, apakah hajat kamu?”
“Aku ingin mengadu akan sikap isteriku yang memarahi aku, tetapi tidak sangka kau juga mempunyai masalah yang sama. Maka aku merasakan bahawa aku tidak patut mengadu kepadamu”
Saidina Umar tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu. Dia pun berkata:
“Wahai lelaki, isteriku telah menjaga makan minumku, mendidik anak-anakku, dan mengurus rumahku sepanjang hidupnya. Maka apakah pantas untuk aku terasa apabila dia sekali sekala naik angin seperti hari ini?”
Lelaki itu senyap.
Lihat. Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal garang dan tegas, tidak sedikit pun marah dengan isterinya yang melenting. Malah berkata sesuatu yang amat lembut untuk perempuan suri rumah.
Dan bukankah suri rumah Umar Al-Khattab itu seorang ibu kepada anak-anaknya?
Dan bukankah Umar Al-Khattab itu salah seorang daripada 10 yang dijanjikan syurga?

Melihat semua itu, kita mendidik diri
Maka terhasil lah ‘sabar’ daripada pemerhatian ini.
Betapa kadangkala, derita dan kesukaran yang kita terima itu amatlah kecil berbanding yang lain. Sedangkan yang lain itu manusia juga seperti kita. Kekuatan mereka tidak kurang tidak lebih daripada kekuatan kita. Mengapa kita mesti rasa lemah?
Nah, lihatlah bagaimana Ibumu melahirkanmu dan membesarkanmu, dan engkau berputus asa kerana cinta tidak syara’mu putus di tengah jalan?
Nah, lihatlah bagaimana Ummimu melahirkanmu dan membesarkanmu, dan engkau rasa terbeban dengan segala kertas kerja dan peperiksaan yang sebenarnya merupakan tanggungjawabmu?
Nah, lihatlah bagaimana Mamamu melahirkanmu dan membesarkanmu, dan engkau rasa sukar membesarkan anakmu yang pelbagai kerenah, membencinya dan merasakan dia menyusahkan?
Nah, lihatlah bagaimana mereka itu bukan sahaja perlu menanganimu, bahkan seluruh keluarga, dan keluarga kepada keluarga, dan engkau rasa payah untuk menjalani kehidupanmu sebagai hamba Allah SWT dengan penuh ketaatan dan ketundukan?
Nyata kita kerdil dan miskin. Faqir.
Sedang Allah Yang Maha Kaya telah memberikan kekuatan, tetapi kita buang.
Jika Allah Yang Maha Perkasa tidak memberikan kekuatan kepada insan, mustahil Ibu, Ummi, Mama kita itu semua mampu bertahan menjalani kehidupan mereka. Tetapi mereka adalah yang mengambil kekuatan itu, lantas mereka mampu tabah dan bertahan. Kita?

Penutup: Belajar. Ambil lah daripada bidadari-bidadari itu.
Ya. Tundukkanlah diri. Pandang kepada Ibu-ibu yang berjasa itu. Kalau bukan Ibumu, maka lihatlah Ibu-ibu lain yang berkorban membesarkan anak mereka. Bagaimanakah mereka itu menangani kehidupan mereka. Semestinya bukan dengan berputus asa.
Sebab itu, mereka sentiasa menjadi bidadari-bidadari saya.
Yang saya hormati hingga tiada penghujungnya.
Kerana mereka memang berhak dihormati, disanjungi, dicontohi kerana pengorbanan mereka.
Apatah lagi, apabila mereka dari kalangan yang beirman kepada Allah, dan memahami bahawa pengorbanan mereka itu adalah untuk melahirkan ummah yang Allah redhai.
Perhatikanlah mereka. Belajarlah daripada mereka. Hormatilah mereka. Hargailah mereka.
Walau bukan Ibu kamu. Walau bukan Mama kita.
Apatah lagi Ummi yang kita punya.
Kerna mereka adalah bidadari-bidadari yang wujud di atas dunia.

2 comments:

srikandi ikhwan said...

i love my mom...

Annisa Asyifa said...

ila penagih cinta ilahi,
saya sayang Ummi saya jg..(^_^)

Kita hanya ada seorang saja yang melahirkan kita,
yang mengandungkan kita,
yang menyusukan kita
dan yang telah berkorban sepanjang hayatnya untuk kita..

Maha Pengasih lagi Maha Penyayangnya Allah yang mengurniakan kita seorang ibu yang pengasih dan penyayang..

Ya Allah,ampunilah dan berkatilah insan-insan mulia ini..
UMMI..IBU..MUMMY..MAK..MAMA..CHEK..dan seumpamanya.. =)