Tuesday, May 10, 2011

Bulan dan Kita..


Sungguh, bulan hanyalah sang kelabu berdebu..
Bertompok hodoh tanpa sinar menyenangkan..
Namun ia dipilih memantulkan cahaya matahari..
Menjadikannya indah tanpa tandingan di malam hari..
Menyenangkan jiwa manusia..
Melapangkan hati mereka..
Saudara-Saudariku kasih fillah..
Kita ini ibarat bulan. Bulan, kelihatan sangat cantik kerana cahayanya. Tiada planet lain yang dapat menandingi ketenangan cahaya bulan ditengah-tengah kelam malam. Dari mana datangnya cahaya itu? Ia datang dari cahaya matahari bukan? Bayangkan, bulan tanpa cahayanya, akan nampak hodoh, kelabu dan berkawah. Begitulah juga kita semua. Islam itu ibarat matahari. Allah jadikan ia sumber tenaga kepada kehidupan. Manakala kita ini ibarat bulan.

Hakikatnya kita ini buruk..hodoh. Tetapi, dengan memantulkan cahaya Islam, kita kelihatan bersinar indah. Ya, apabila kita mengambil Islam sebagai cara hidup, mengikut sunnah insan terbaik sepanjang zaman, Muhammad s.a.w, membinanya dalam jiwa lalu memantulkan dalam amalan, maka kita akan bercahaya. Kehodohan kita akan lenyap apabila kita mampu memancarkan cahaya Islam itu sendiri.

Justeru, saudaraku, janganlah sesekali meninggalkan Islam. Jangan campakkannya ke tepi. Genggamlah Islam, agama suci kita ini sebagai cara hidup, pembentuk akhlak dan peribadi kita. Agar indah diri kita seperti indahnya bulan. Walaupun sebenarnya, bulan itu kelabu dan hodoh berdebu..

~ Petikan Cerpen Bulan, karya Akh Hilal Asyraf dalam buku beliau, Matahari..

Perhatian sahabat-sahabatku sekalian.. 
Awas! Berhati-hatilah dengan perompak iman kita iaitu iblis dan syaitan laknatullah. Mereka melancarkan serangan dengan strategi yang cukup licik.. Nauzubillah min dzalik..

Sahabat..
Diserangnya kita supaya menghampiri dan jatuh syirik, maka binalah pertahananmu seteguh mungkin dengan beriman dan beramal dengan kalimah La Ilaha IllAllah yakni Allah Maha Berkuasa Atas Segala Sesuatu, makhluk tidak berkuasa melakukan apa-apa tanpa izinNya. Wajiblah kita mentaati Segala Perintah Allah dan meninggalkan Segala Larangannya. Kita ini hamba yang telah dibeli dan sebagai ganti kepada hamba-hamba yang taat, Al-Jannah..syurga yang penuh kenikmatan.

Diserangnya juga kita supaya melakukan bidaah-bidaah sesat, maka luruskan kembali jalanmu dengan beriman dan mengamalkan makna kalimah MuhammadurRasulullah yakni contoh ikutan terbaik ialah cara hidup yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Dalam sunnah, ada redha dan rahmat Allah Taala.

Malah, serangan turut dilancarkan dengan menghadirkan dalam hati kita rasa sombong, riyak, takabbur.. Maka rawatlah dengan mengikhlaskan niatmu. Sesungguhnya setiap amal itu dilihat pada niat.. Belajarlah mengikhlaskan niatmu hanya kerana Allah Taala.

Iblis dan syaitan laknatullah turut menyerang iman kita dengan akhlak-akhlak yang buruk. Maka, nyahkanlah ia dengan sifat memuliakan sesama hamba Allah. Tiadalah sempurna iman kamu selagimana kamu tidak mengasihi saudaramu sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri. Hayati sirah Rasulmu dan amalkanlah akhlak Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatn r.anhum sewaktu hayat mereka.

Saudaraku, mereka juga mempengaruhi kita supaya hidup dalam kejahilan. Maka, hindarilah ia dengan Berdakwah.. Menyampaikan kebenaran dan berpesan-pesan ke arah kebaikan dan kesabaran sesama kamu.. Sabda Nabi s.a.w; Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat. Seluruh hidup baginda s.a.w dikorbankan untuk berdakwah, begitu juga hidup sahabat-sahabatnya, tabi' tabiin sehinggalah sampai kepada kita. Teruskanlah usaha Nabi ini penuh kesungguhan dan keikhlasam walau diri sendiri hakikatnya penuh kekurangan. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba Allah yang berjaya. Amiiin...

Wallahu'alam, salam mujahadah fisabilillah! Barakallahu fiik.. :)

No comments: