Friday, May 20, 2011

Dakwah...

Buat para daie...
Dalam menyampaikan amanah dakwah, ada banyak perkara yang perlu kita usaha untuk pelajari dan fahami. Antara perkara utama:

1. Ikhlas kerana Allah swt
 
Ikhlas adalah kunci utama kejayaan dakwah, dengan izin Allah. Seorang pendakwah mesti menanamkan niat ikhlas di dalam setiap gerak langkah dakwahnya. Semua amalannya mesti diarahkan semata-mata untuk Rabb yang menguasai alam semesta. Seorang pendakwah juga tidak sewajarnya mengharapkan kedudukan, pangkat, kemasyhuran, pujian dan sebagainya. Semua amalannya hanya menginginkan keredhaan Allah yang Maha Esa.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

Katakanlah (wahai Muhammad) : “Upah apa pun yang aku minta daripadamu maka itu untukmu. Upahku hanyalah dari Allah dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”
(Surah Saba’ : 47)

2. Mempunyai matlamat yang jelas.

Seorang pendakwah mesti mempunyai matlamat yang jelas di hadapannya iaitu untuk menegakkan agama (Iqamatuddin), melakukan pembaikan (islah) dan mencegah semua bentuk kemungkaran.

3. Bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan agama Allah.

Bersungguh-sungguh yang dimaksudkan adalah sebagaimana seorang mujahid yang melawan musuh di medan peperangan. Ini dilakukan dengan menyeru sekalian manusia ke arah melaksanakan perkara-perkara yang baik (amar ma’ruf) dan mencegah daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah (nahi mungkar).

4. Sentiasa menuntut dan menambah ilmu pengetahuan.

Dalam menjalankan usaha dakwah, penguasaan ilmu amat penting bagi para pendakwah. Ini untuk memudahkannya berhadapan dengan manusia yang bakal ditemuinya. Selain ilmu-ilmu yang berkait dengan aqidah dan hukum-hakam, seorang pendakwah juga perlu peka dengan perkembangan ilmu pengetahuan semasa seperti teknologi maklumat, sains dan lain-lain.

5. Sedia menerima kelebihan dan kekurangan orang lain.

Pendakwah harus menyedari bahawa dia adalah manusia yang serba kekurangan dan begitu juga manusia lain.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

“Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun dari kamu yang bersih (dari perbuatan keji dan mungkar).”
(Surah An-Nur : 21)

Perlu disedari, hanya Allah sahaja yang Maha Sempurna dan segala kekurangan itu adalah milik kita. Oleh yang demikian, seorang pendakwah mestilah mampu berinteraksi dan bergaul dengan masyarakat sekelilingnya.

6. Tidak mudah berputus asa ketika menghadapi kesusahan.

Berputus asa terhadap sesuatu kegagalan atau kesulitan bukanlah ciri-ciri seorang yang baik. Ini kerana, jalan dakwah sentiasa memerlukan kesabaran yang tinggi dan berusaha untuk mengatasi segala kesukaran yang dihadapi. Rasulullah s.a.w. berada di Mekah selama 13 tahun untuk berdakwah terus-menerus walaupun baginda sering dihina dan disakiti. Sesungguhnya, jika kita kumpulkan seluruh kesusahan yang kita alami ketika ini dan dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. ternyata kita berada amat jauh di belakang.


7. Tidak mempermudah-mudahkan hukum Allah.

Antara adab-adab seorang pendakwah termasuklah tidak meremehkan sesuatu perbuatan maksiat yang dilakukan oleh seseorang. Pendakwah harus menyedarkan golongan-golongan yang membuat kemungkaran agar takut akan siksa dan azab Allah. Terdapat di kalangan pendakwah yang mempermudahkan atau menganggap ringan tentang maksiat sehingga apabila dosa besar dilakukan, dia mudah mengatakan bahawa perkara itu ringan, tidak berat dan sebagainya.

8. Mengelakkan sebarang kritikan yang bersifat peribadi.

Di antara akhlak seorang pendakwah adalah tidak mengkritik peribadi-peribadi tertentu, menjatuhkan maruah orang lain dan mendedahkan identiti mereka di khalayak ramai. Seorang pendakwah hendaklah menyedarkan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang tanpa mengumumkannya di khalayak ramai. Tapi sebaliknya ada individu yang secara terang-terangan menentang Allah melalui perbuatan, lisan, buku-buku, bid’ah atau sebagainya maka dalam keadaan ini bolehlah didedahkan identiti mereka yang terlibat bagi tujuan menyelamatkan aqidah umat Islam lainnya.

9. Tidak merasakan diri sendiri mempunyai kelebihan berbanding orang lain.

Seorang pendakwah perlu merenung ke dalam dirinya dan sentiasa merasakan dirinya seorang manusia yang serba kekurangan. Seorang pendakwah juga hendaklah memuji Allah s.w.t. kerana Allah yang telah menjadikannya sebagai seorang penyampai ajaran Islam kepada manusia serta mensyukuri nikmat ini.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.”
(Surah an-Nasr : 3)

10. Tidak menokok tambah apa yang telah ditetapkan oleh agama.

Dalam menyebarkan dakwah, kadangkala terdapat di kalangan pendakwah yang terlalu ghairah dan bersemangat sehingga menambah apa-apa yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Antaranya, termasuklah ancaman-ancaman Allah terhadap pembuat maksiat, balasan syurga dan neraka, dosa dan pahala serta perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah.

Allah s.w.t. telah menetapkan ukuran terhadap segala sesuatu. Oleh itu, seorang pendakwah tidak boleh mengancam seseorang melebihi ketetapan Allah dengan pendapatnya sendiri walaupun untuk tujuan memberi motivasi atau perangsang.

Allah berfirman: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat ayat 11).

No comments: