Friday, June 5, 2009

Daie Yang Zalim...

Petikan Artikel Min Langit Ilahi >> http://ms.langitilahi.com/

Pernah dengar perkataan da’ie? Kalau ikut Kitab Usul Dakwah karangan Sheikh Dr Abdul Karim Zaidan, dia menyatakan bahawa perkataan da’ie berasal dari perkataan da’a(perkataan arab). Da’a bermaksud seruan. Maka da’ie bermaksud penyeru.

Biasanya, hari ini di Malaysia, perkataan da’ie dirujuk kepada mereka yang menyeru manusia kembali memperutuhkan iman kepada ALLAH dan mengikuti ajaran ISLAM. Penyeru kepada kebaikan ini selalunya adalah seorang yang soleh, faham akan ISLAM, bersungguh-sungguh dalam amal, dan sentiasa memberikan yang terbaik.

Bila ada da’ie(orang yang menyeru), pasti ada mad’u(orang yang diseru). Da’ie akan menyampaikan kefahaman ISLAM, dan menunjukkan jalan untuk kembali kepada ALLAH terhadap mad’u.

Namun, dari kalangan da’ie juga, ada yang zalim kepada mad’unya.

Manusia mempunyai hak untuk melakukan kebaikan dan keburukan. Tetapi, setiap perbuatan ada pembalasan.Manusia juga mempunyai hak, untuk diajak kepada kebaikan.

Dalil bahawa manusia mempunyai hak untuk diajak kepada kebaikan adalah, ALLAH menghantar para rasulNya kepada manusia. Kalau lah manusia itu tiada hak untuk diajak kepada kebaikan, baik buruk memang urusan sendiri-sendiri tanpa perlukan teguran, maka pastinya ALLAH tidak akan menurunkan Rasul. Siapa buat dosa diazab sahaja tanpa diberikan peringatan. Tetapi ALLAH menetapkan bahawa, manusia itu berhak diajak, ditegur, dan diberikan peringatan.

“ Dan tidaklah KAMI menjadi pengazab, sehingga KAMI mengutuskan Rasul…” Surah Al-Israa ayat 15.

“ Dan berikanlah peringatan…” Surah Adz-Dzariyat ayat 55.

Apakah definisi zalim? Zalim bermaksud: Tidak memberikan sesuatu itu haknya yang sebenar. Maka, kalau kita nyatakan Da’ie yang zalim kepada mad’u, apakah maksudnya?

Maksudnya, dai’e itu tidak memberikan mad’u itu hak yang sepatutnya.

Dengan ini, da’ie telah menjadi zalim secara sah. Bagaimanakah bentuk kezaliman yang mungkin seorang da’ie boleh lakukan kepada mad’unya?

Antara kezaliman yang biasa dilakukan oleh seorang da’ie adalah memilih-milih mad’u.

Tidak pantas sebenarnya bagi seorang da’ie untuk memilih-milih mad’unya.

“ Ah, aku nak seru dia ni sahaja”,“ Ana nak dakwah dia, dia dan dia sahaja. Yang lain tak payah”, “ Dia ana tak kenal, yang ni ana kenal. Ana dakwah yang ni sahaja lah”, “ Dia tu penjahat besar. Ana malas la. Ana dakwah yang baik sikit.”

Hakikatnya, seruan kepada kebaikan, dan ajakan kepada kebenaran itu adalah hak semua manusia. Jika terlihat di hadapan kita manusia yang jauh dari ALLAH, berbuat maksiat dan sebagainya, maka itu telah menjadi tanggungjawab kita untuk menyerunya kembali kepada ALLAH tanpa memilih-milih.

Kita tidak perlu kisah dia dari kaum mana, dia kaya atau miskin, dia cantik atau tidak, dia pandai atau tidak, untuk kita menyerunya. Dia siapa, bukan sebab kita menyerunya. Da’ie menyeru manusia lain, kerana ALLAH semata-mata. Da’ie menyeru, untuk membawa manusia kembali mengamalkan ISLAM dan mentaati ALLAH dengan sebenar-benarnya. Bukan untuk mencari nama, pujian, pengikut dan sebagainya.

“ Wahai orang yang berselimut! Bangunlah dan berikan peringatan! Dan agungkanlah TUHANmu! Dan bersihkanlah pakaianmu! Dan tinggalkanlah segala yang keji! Dan janganlah engkau memberi(menyeru) untuk angka yang diperbanyak! Dan kerana TUHANmu, bersabarlah!” Surah Al-Muddatsir ayat 1-7.

Ayat ini diturunkan ketika awal dakwah Rasulullah SAW. Baginda telah diperingatkan oleh ALLAH SWT untuk bangkit memberikan peringatan. Kepada siapa? Kepada sekalian manusia. Dalam arahan untuk melakukan seruan ini, ALLAH telah berpesan supaya baginda tidak menyeru untuk memperbanyakkan angka. Tetapi baginda diingatkan agar menyeru kerana ALLAH semata-mata, dan diingatkan untuk bersabar.

Di sekeliling kita, terdapat pelbagai orang. Ada yang mempunyai latar belakang agama, ada yang tidak. Ada yang faham akan ISLAM, ada yang tidak. Malah, kemungkinann ada di sekeliling kita ini orang yang bukan ISLAM. Seorang da’ie, perlu rasa bertanggungjawab dengan manusia di sekelilingnya. Kalau dia tahu ada seorang yang tersungkur dari jalan ALLAH, dan dia mampu sampai kepadanya, maka dia bertanggungjawab untuk membantu. Tidak pantas untuk seorang da’ie membiarkan manusia itu tenggelam dalam dosa-dosanya.

“ Eh, aku tak kenal dia”,“ Ana tak rapat la dengan dia”,“ Ish,dia kan ada mak ayah dia?”

Jika seorang da’ie beralasan sedemikian, maka ketahuilah bahawasanya dia hakikatnya bukan seorang da’ie. Seorang da’ie mempunyai rasa yang tinggi untuk membawa manusia kembali kepada ALLAH SWT. Dia tidak peduli siapa, dia tidak peduli apa pangkatnya, ada orang lain yang bertanggungjawab ke atasnya atau bukan, dia akan tetap melaksanakan dakwah, untuk mengajak manusia kembali kepada kebenaran. Selagi tangannya mampu mencapai manusia itu, dia akan berusaha habis-habisan.

Sepatutnya seorang da’ie, mengambil pengajaran dari kata-kata Imam Hassan Al-Banna. Satu hari, Imam Hassan Al-Banna menangis. Orang di sekelilingnya bertanya:

“ Sheikh, kenapa kau menangis?”

Dia menjawab: “ Aku teringatkan orang-orang red indian di pendalaman. Aku risau mereka akan dipersoalkan di hadapan ALLAH akan sebab mereka tidak mendapat hidayah, dan mereka akan menjawab: Hassan Al-Banna tidak berusaha datang kepada kami menyampaikan kalimahMu”

Begitu sekali Sang Imam merasakan besar tannggungjawabnya menyeru ummah. Hatta red indian yang jauh dari gapaian tangannya pun difikirkan. Bagaimana kah kita? Bagaimana kita dengan orang sekeliling kita? Bagaimana kita berhadapan dengan sahabat-sahabat kita yang keguguran dari jalan ALLAH? Bagaimana kita berurusan dengan ahli rumah kita yang berbuat dosa?

Satu hari, Imam Hassan Al-Banna ada berkata:

“ Kalaulah aku mampu, aku ingin mengetuk perut setiap ibu yang mengandung, untuk menyampaikan kalimah ALLAH kepada bayi yang masih berada di dalam rahim”

Kata-kata berbaur kesungguhan yang tinggi. Langsung tidak memilih. Hendak mencari yang faham sahaja, hendak mencari yang pandai sahaja, hendak mencari yang akhlak baik sahaja, hendak mencari yang jawatan tinggi sahaja. Tidak. Da’ie bukan begitu. Hatta kepada anak kecil yang tidak faham apa-apa pun, da’ie disuruh untuk mentarbiyahnya, membesarkannya dalam suasana ISLAMI.

Memang, tidak dinafikan dalam pergerakan dakwah, kita akan cuba mencari yang berakhlak baik untuk memudahkan proses. Kita akan cuba mencari yang berjawatan elok untuk memperkuatkan saf pergerakan. Tetapi, apakah itu bermaksud, kita meninggalkan yang lain? Adakah itu bermaksud, bila ada yang gugur, tersungkur di sekeliling kita, kita membiarkan?

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, cegahlah dengan tangan. Jika dia tidak mampu, cegahlah dengan lisan. Jika dia tidak mampu juga, cegahlah dengan hati. Sesungguhnya itu selemah-lemah iman”

“ Aku mampu cegah dalam hati je la. Tak tahu la nak cakapn dengan orang macam tu. Sekolah agama, pernah ikut dakwah, tapi buat jugak maksiat?”

“ Enta dah tegur dia belum?”

“ Ana tak cakap apa pun kat dia. Ana tegur dalam hati je”

“ Kenapa?”

“ Dia kan budak agama. Sekolah agama. Mesti la dia faham”

Begitu kah? Begitu kah? Sesiapa yang berfikiran sedemikian maka dia telah salah dengan sesalah-salahnya. Apakah pantas bagi da’ie, tidak mencuba dengan usahanya yang paling bersungguh, mencegah dengan tangan, untuk terus memilih membenci di dalam hati sahaja? Perasankah kamu wahai Da’ie bahawa, mencegah di dalam hati itu adalah pilihan untuk orang yang lemah imannya?

Da’ie sepatutnya merasakan tanggungjawabnya sebagai penyeru di atas jalan ALLAH ini, sebagai tanggungjawab yang besar. Dia tidak akan nampak kemalasan, melainkan kesungguhan sahaja. Sebab itu, da’ie yanng sebenar dia tidak akan memilih untuk memboikot mad’unya. Da’ie yang sebenar tidak akan memilih status mad’unya. Sebolehnya, semua yang mampu dicapai, semua itulah yang hendak dia bawa ke jalan ALLAH bersama.

Hatta, kalau ulama’ seperti Syeikh Yusuf Al-Qardhawi tiba-tiba minum arak pun, kita wajib berusaha sehabis baik pergi kepadanya, menegurnya. Kita tidak boleh sekadar mengutuk belakang dan menyatakan: “ Ei, apa la dia tu. Ulama’ besar, tapi minum arak”

Dosa dia, itu dosa dia dengan ALLAH. Kita, kita ada tanggungjawab untuk menyeru manusia kembali kepada ALLAH. Dosa dia dengan ALLAH, itu urusan dia dengan ALLAH. Tanggungjawab kita dengan ALLAH, kita laksanakan. Tanggungjawab kita adalah menyeru. Menyeru manusia kembali kepada ALLAH SWT.

Mungkin da’ie tidak perasan akan kezaliman ini.

Membiarkan manusia terus lara dalam dosanya, terkontang kanting tanpa petunjuk cahaya, hakikatnya juga merupakan satu dosa kepada da’ie. ALLAH akan tanya, adakah kita telah berusaha menyampaikan kalimah dan peringatanNya kepada manusia atau tidak. Kemudian kalau kita kata kita telah berusaha, kita akan ditanya pula, sejauh mana kah kesungguhan usaha kita?

Jangan sampai, orang-orang yang kita tidak pilih untuk menyeru mereka, datang di akhirat kelak, menyaman kita di hadapan ALLAH SWT dengan kata-kata:

“ YA ALLAH, si fulan ini tidak menyeru kepada aku akan kalimahMu. Maka lontarkanlah dia ke neraka bersamaku”

Ya ALLAH… Itulah kerugian yang sebenar-benarnya. Hilang segala harga amal. Lesap segala pahala seruan. Kita telah zalim rupanya.

Serulah. Usahalah. Serulah seluas-luasnya. Usahalah sesungguh-sungguhnya. Agar kita berdiri di hadapan ALLAH, siap dengan alasan yang kukuh dan kuat.

Rasulullah SAW pada penutup Khutbah terakhir baginda, baginda telah bertanya kepada semua yang hadir: “ Apakah aku telah menyampaikan(yakni menyampaikan ajaran ALLAH)?” Semua berkata: “ Ya, kamu telah menyampaikan” Kemudian Rasulullah SAW mengangkat jari telunjuk baginda ke langit, dan berkata sambil menurunkan tangannya tadi.

“ YA ALLAH, persaksikanlah, ya ALLAH, persaksikanlah, ya ALLAH persaksikanlah”

Baginda mampu, sebab baginda berusaha bermati-matian menyebarkan kalimah ALLAH. Tidak memilih langsung. Hamba sahaya, golongan kaya, fakir miskin, sahabat karib, orang yang tidak baginda kenal, keluarga, yang bukan keluarga, satu kampung, kampung lain dan sebagainya, semuanya diseru tanpa prejudis.

Marilah kita mencontohi Rasulullah SAW dalam melaksanakan amanah dakwah ini.

“ Dan siapakah kata-katanya lebih baik dari mereka yang menyeru(untuk kembali) kepada ALLAH dan berbuat amal kebaikan?” Surah Fussilat ayat 33.

ALLAH, aku telah menyampaikan. Saksikanlah, saksikanlah.

2 comments:

Anonymous said...

jap2 solihah..ni aku nak tego sket penggunaan dalil yg ko letak kat sini..ayat;

'tiada paksaan dalam agama..'
2 bukan ayat yang dimaksudkan untuk seorang da'ie..tapi ayat tu ditafsir ulama sbg ayt bhw;
'tiada paksaan(dalam memasuki) agama (islam)...'

maknanya kite xleh nak paksa2 org kafir msuk islam..so penggunaan ayt tg ko gne ni salah mengikut tafsiran ulama n besenya tafsiran sebegini dibuat oleh puak jahil spt SISTERS IN ISLAM spaya takde org boleh pakse dorg tak nak pakai selendang ke ape ke..so makesure you be a little bit careful in using those verses from the Koran itself okey dude? right then..

Annisa Asyifa said...

salamalaik, syukran atas tgurn ini. Artikel ni kepunyaan Hilal Asyraf. Sy cuma copy tk dkongsi bersama teman2. Tak sgka pula ada ayat yg mnimbulkan salah faham. Pada pndgn saya, dia x bermksud kita x berhak mmksa org dlm berdakwah tetapi yg dimaksudkn ialah terdpt sgolongan daie yg bertindak mmilih mad'unya utk kpntingan diri smata2. Mereka memegang ayat ni utk elak diri dr berdakwah pd org lain yg mrka x nak.Golongan inilah yg dikatakan Daie Yang Zalim. Ini apa yg sy faham. Apapun, syukran atas tgurn. Kdg2 kita x sedar, org boleh slh fhm dgn apa yg kita buat, tulis n cakap. Kita boleh bljr dr kesilapan. WALLAHUALAM.