Tahun demi tahun berlalu, istilah budaya kuning semakin terhakis dan terus hilang dari kamus. Dengan kata lain, 'budaya kuning' itu telah kehilangan kuningnya dan kini telah menjadi 'budaya kita'. Sebab itulah, gejala sosial yang berlaku kini bukanlah merupakan satu perkara asing lagi di dalam masyarakat. Masyarakat nampaknya sudah 'lali' dengan apa yang berlaku dan sudah pasrah dengannya, bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'.
Hampir setiap hari kita didedahkan dengan bermacam-macam laporan tentang masalah salah laku remaja. Berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan sudah terlalu lumrah, sehingga ia tidak lagi dilakukan di tempat yang tersorok, malah telah berlaku secara terang-terangan di tempat awam. Jika dulu kes-kes berpeluk, cium dan raba adalah fenomena biasa di tasik-tasik, kini ia boleh dilihat di mana-mana, termasuklah di kedai-kedai mamak sekalipun.
Budaya rempit sudah tidak terkata dan semakin hari mereka semakin menunjukkan belang. Ini terjadi setelah golongan mat rempit ini semakin mendapat perhatian kerajaan, seolah-olah mereka ini telah diberi satu 'pengiktirafan'. Baik di bandar mahupun kampung, golongan ini sudah tidak memilih tempat lagi, asalkan ada jalan raya. Lebih buruk, aktiviti rempit ini turut melibatkan golongan remaja perempuan. Apa yang paling menyedihkan kita ialah, mereka ini semuanya beragama Islam! Malah sebahagian besar kes gejala sosial yang berlaku di Malaysia adalah melibatkan muda-mudi Islam!
Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Orang-orang kafir Barat hidup tanpa berpandukan agama. Oleh itu, mereka menyelesaikan segala masalah mereka hanya dengan mengikut selera nafsu tanpa panduan dari agama mereka. Kita umat Islam berbeza sama sekali dengan mereka di mana kita mempunyai panduan, apabila kita berpegang dengannya, kita tidak akan sesat selama-lamanya. Dan panduan kita itu tak lain tak bukan ialah Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Jika mengambil selain keduanya, maka sudah pasti segala masalah tidak akan dapat diselesaikan dan lebih buruk lagi, umat Islam pasti akan tersesat. Inilah apa yang berlaku pada hari ini, semua masalah diterapkan hukum berlandaskan nafsu semata, bukannya hukum Allah. Umat Islam telah mengambil cara berfikir kafir Barat di dalam menyesaikan segala permasalahan. Maka berlakulah apa yang kita saksikan sekarang - penyelesaian yang tidak pernah menyelesaikan.
Umat Islam tidak habis-habis menggunakan nafsu dan terus tersesat jalan dengan cuba mengubati penyakit dengan mengubati simptomnya sahaja. Ibarat kata, jika atap sebuah rumah itu bocor dan menyebabkan air menitis setiap kali hujan melanda, umat Islam sibuk mencari penyelesaian dengan mengambil baldi atau lain-lain bekas untuk menakung air yang bocor itu. Mereka sibuk berbincang dan bertelagah sesama sendiri samada baldi atau besen yang lebih sesuai. Mereka juga sibuk berbincang saiz baldi dan besen yang akan digunakan. Persoalannya, apakah selesai masalah dengan pendekatan sebegini, jikapun yang diambil itu adalah baldi atau besen emas sekalipun? Wahai kaum Muslimin! Kalian semua mengetahui bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang akan menuntaskan segala masalah ialah dengan membaiki atap yang bocor tadi. Inilah penyelesaian yang hakiki.
Kita harus sedar bahawa kita manusia adalah setinggi-tinggi makhluk Allah di muka bumi ini. Kesedaran ini janganlah sampai membawa kita terlupa bahawa kita juga boleh jatuh menjadi serendah-rendah makhluk jika tersalah mengemudikan bahtera hidup ini. Ini sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya manusia Aku cipta dalam sebaik-baik kejadian. Lalu Aku jatuhkannya menjadi serendah-rendah makhluk; kecuali mereka yang beriman, beramal soleh. Mereka mendapat ganjaran yang tidak putus-putus"
No comments:
Post a Comment