Perkongsian artikel min http://ms.langitilahi.com/
Manusia, apabila disuruh kerja, pasti di dalam kepalanya akan terdetik: “Apa yang aku dapat?”
Masa kecil dulu, bila Ummi saya suruh buat kerja, saya akan bertanya: “Ada upah tak?”
Kita pun, semasa sudah besar panjang, bekerja, kita akan mencari gaji yang selesa bukan? Manusia memang keadaanya hendakkan balasan bila melakukan sesuatu. Tidak ramai yang memilih kerja doktor kerana hendak menyelamatkan nyawa. Ramai yang memilih profession itu kerana nampak profesional, bergaji besar, dan dihormati masyarakat. Bukankah itu mahukan imbalan?
Give and take, itu situasinya. Kita berikan sesuatu, maka kita hendakkan sesuatu sebagai balasan.
Maka saya hendak anda melihat, menjadi HAMBA ILAHI juga adalah satu profession. Imbalannya amat lumayan. Percaya? Maka bukalah jiwa anda….
Saya ada satu kisah. Kisah seorang manusia diberikan sebuah kedai runcit dengan segala isinya secara percuma oleh tuan kedai runcit.
“ Kedai runcit ini, aku berikan kepada kamu dengan percuma, tanpa apa-apa bayaran sekalipun, termasuklah dengan segala isinya.” Kata taukeh kedai kepada manusia bertuah itu.
“ Aku cuma harapkan, kau jaga kedai ini dengan elok, dan gunakanlah peluang yang telah aku berikan ini dengan bersungguh-sungguh” Pesan taukeh kedai.
Taukeh kedai pergi. Maka manusia bertuah itu menguruskan kedai runcit yang dia dapati secara percuma. Dia sungguh bersyukur, diberikan peluang sebegitu rupa. Memang, menguruskan kedai runcit agak sukar. Ada orang cuba sabotaj, ada halangan di tengah perniagaaan, dan kadangkala untung, kadangkala rugi. Namun manusia bertuah itu tidak putus asa. Saban waktu dia merancang, gigih melaksanakan perancangannya dan dia terus berusaha, usaha dan usaha.
Akhirnya, kedai runcitnya maju. Ramai manusia berkunjung membeli barangan di kedai runcitnya. Kedai runcitnya menjadi terkenal.
Satu hari, tanpa disangka-sangka, dia dipanggil oleh orang yang telah memberikan dia kedai runcit itu secara percuma.
“ Hei manusia, aku lihat, kau menguruskan kedai runcit aku dengan bersungguh. Jatuh bangun kau tidak sama sekali membuatkan kau berputus asa. Kini aku nampak dengan mata kepala aku sendiri yang kedai runcit itu maju dan semakin banyak untungnya. Tahniah” Tuan kedai runcit yang lama itu berkata.
Lelaki itu, walaupun dipuji sedemikian, dia keresahan sebenarnya. Di dalam pemikirannya, dia kehairanan kenapa tuan lama kedai runcitnya itu memanggilnya secara tiba-tiba. “ Tuan hendak ambil semula kedai runcit itu?”
“ Ya” Dan jawapan itu mengejutkan.
“ Tapi, bukan dengan percuma. Aku beli kedai runcit kau itu dengan segala isinya. Kemudian, aku berikan kau pula sebuah pusat membeli belah yang berkali ganda lebih besar dari kedai runcit kecil itu, siap dengan segala isinya, kemudahannya, pekerjanya, barangannya, untuk kau. Semua itu, aku berikan secara percuma. Kau dapat wang yang aku bayar sebab beli kedai runcit itu, dan kau dapat juga pusat membeli belah yang besar dan segala isinya itu”
Wah wah… Lelaki itu memang bertuah. Seronok kah menjadi lelaki itu?
Mungkin kamu akan mengetawakan saya dan berkata: “ Dalam cerita boleh la. Realiti mana ada orang nak bagi begitu”
Hu hu… Saya juga mengetawakan anda jika anda mengetawakan saya. Memang, manusia tidak akan ada yang hendak berbuat begitu. Jika ada pun, mungkin 1 dalam 100 juta.
Tetapi YANG MENCIPTAKAN MANUSIA berbuat demikian. DIA ‘sedang’ berbuat demikian. Malah lebih lagi dari demikian.
DIA memberikan kita tubuh badan, roh, nyawa percuma. DIA memberikan kepada kita dunia ini dengan percuma. DIA memberikan kita dunia dan segala isinya, oksigen, tanah tanih, rumput-rumput, pokok-pokok, sistem-sistem, bintang, planet, ibu ayah, teman, anak, isteri, suami, kegembiraan, keceriaan, kedukaan, kesenangan, dan pelbagai lagi nikmatNya yang tidak terkira dengan percuma.
“ Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” An-Nahl ayat 18.
Kemudian DIA mempertanggungjawabkan kepada kita dengan semua perkara percuma ini, agar kita menggunakannya sebaik-baik penggunaan.
DIA berfirman, DIA hendak ‘membeli’ segala apa yang DIA berikan kepada kita ini dan memberikan kita Syurga.
“ Sesungguhnya ALLAH membeli dari orang-orang beriman diri mereka dan harta-harta mereka dan untuk mereka adalah syurga…” Surah At-Taubah ayat 111.
Itulah yang akan kita dapat.
Hidup manusia juga ada jatuh bangun, DIA bersabar dengan jatuh bangun kita. Malah menjanjikan cintaNya untuk sesiapa yang jatuh kemudian bangun semula.
“ (semua akan celaka)Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan tidak akan dizalimi(dirugikan) sedikit pun. Yaitu syurga ‘adn yang telah dijanjikan oleh TUHAN Yanng Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya, sekalipun(syurga itu) tidak nampak(sekarang). Sesungguhnya,(janji ALLAH) itu pasti ditepati” Surah Maryam ayat 60-61.
Kamu bertanya apa yang aku dapat bila taat kepada ALLAH SWT, tunduk pada perintahNya, hidup mencari redhaNya, bertahan meninggalkan laranganNya?
“ Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi di dalam surga, yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal.” Surah Al-’Ankabut ayat 58
Kamu akan dapat seperti mana apa yang saya cerita, bahkan lebih lagi sehingga menjangkau perkara-perkara yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran kamu.
Bagaimana profession sebagai HambaNya? Lumayan bukan imbalannya?
Apa yang kamu dapat bila kamu ingkar kepadaNya?
No comments:
Post a Comment