Showing posts with label Kisah2 Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Kisah2 Sahabat. Show all posts

Friday, June 5, 2009

Khalifah Muawiyah


Rata-rata umat Islam di zaman mutakhir ini menganggap Saiyyidina Muawiyah r.a sbg pengasas monarki dalam Islam, seorang yang zalim, pemutar belit, pemberontak, ahli politik yang licik dan lain-lain. Tidak ada keburukan yang tidak dihubungkan kepadanya dan tidak ada pula sebagai penulis wahyu daripada ALLAH, seorang yang dikhususkan oleh Nabi saw dengan doa-doanya yang istimewa, tidak pernah dilucutkan jawatan gabenor yang disandang selama 20 tahun dan kemudian sebagai khalifah pula selama 20 tahun.

Soalnya siapakah yang memimpin armada pertama dalam sejarah Islam menentang tentera-tentera Rom? Siapakah pula yang telah menakluk Cyprus, Sicily, Rhodesia, Sudan, Qairawan dan Sind? Siapakah yang menyatupadukan kembali umat di bawah satu panji-panji dalam melancarkan jihad yang terhenti sekian lama berikutan perpecahan dan peperangan saudara yang berlaku di zaman pemerintahan Saiyidina Ali? Dimanakah Muawiyah yang diakui Rasulullah saw, para sahabat dan tabi’en sebagai seorang pemimpin Al-Mahdi, adil, amanah, berani, penyantun, berilmu dan contoh mithali dalam pentadbiran dan penyusunan kerajaan…?

Malangnya, keistimewaan dan keutamaan Muawiyah telah pun mendap ke bawah oleh sikap prejudis umat terhadapnya lantaran terpedaya dengan fitnah yang ditabur oleh musuh-musuh Islam dalam sejarah mereka semenjak zaman permulaan lagi. Benih-benih fitnah yang ditabur itu kemudian telah berakar umbi dan menunjang dengan kuat sekali di dalam taman sejarah kita, sehingga sukar untuk kita mencabut dan membersihkannya melainkan jika kita memiliki keupayaan besar dan bersedia untuk mengorbankan masa yang lama untuknya.

Keutamaan dan kelebihan Muawiyah terbukti di dalam Al-Quran yang menyebutkan kelebihan-kelebihan para sahabat r.anhum dengan banyak sekali dan juga di dalam hadith-hadith, dan atsar para sahabat dan tabi’en. Antaranya yang dinyatakan di dalam kitab sohihaini; Rasulullah saw bersabda; "tentera pertama dari umatku yang berperang dengan meredah lautan sudah pasti mendapat syurga." (Peristiwa perang pertama menerusi lautan telah berlaku pada tahun 28H, semasa pemerintahan Saiyidina Uthman di bawah pimpinan Saiyidina Muawiyah.)


Keutamaan yang lain: Beliau merupakan penulis wahyu, menunjukkan betapa tingginya kedudukan beliau dari kalangan sahabat-sahabat baginda saw, dan membuktikan betapa Rasulullah mempercayainya. Beliau telah didoakan oleh Rasulullah supaya menjadi seorang pemimpin yang terpimpin dan seorang yang diajarkan oleh Allah pengetahuan tentang Al-Kitab dan ilmu hisab, dijauhi azab dan lain-lain. Sebagaimana didoakan oleh Rasulullah supaya dimantapkan pemerintahannya. : “ya Allah jadikanlah dia seorang pemimpin yang terpimpin dan pimpinlah(manusia) dengannya” -(sohih tarmizi jld.2)

Rasulullah juga berdoa; “ya Allah ajarkanlah dia Kitab dan hisab dan peliharalah dia daripada azab”. Sebenarnya hanya segelintir sahaja daripada kalangan sahabat yang didoakan secara khusus oleh Rasulullah berkenaan hal itu.

Pernah beliau dicela di hadapan Saiyidina Umar, maka Saiyidina Umar pun berkata, "Janganlah kamu mencela anak muda Quraish ini. Dia adalah seorang yang boleh ketawa ketika marah (terlalu penyantun). Tidak boleh diambil apa yang ada padanya melainkan dengan persetujuannya dan tidak boleh diambil apa yang ada di atas kepalanya melainkan dari bawah dua tapak kakinya."

Namun sejarah ini telah diselewengkan melalui pakatan jahat diantara perancang-perancang yahudi dan majusi. Mereka menyebarkan propaganda yang memburukkan khalifah umat Islam pada masa itu. Kemudian mereka membunuh Amirul Mukminin Saiyidina Uthman.

Golongan ini jugalah yang telah menyebarkan fitnah di zaman Saiyidina Ali dengan berselindung secara berbaiah kepada Ali. Mereka jugalah yang memburuk-burukkan Saidina Muawiyah dan menuduhnya dengan bermacam-macam tuduhan liar sememangnya telah lama menjadi syiar pengikut Abdullah Ibnu Saba’, bahkan ada di antara mereka telah memakai topeng taqiyyah, berpura-pura sebagai sunni lalu melontarkan bermacam-macam fitnah.

Masakan seorang sahabat agong Rasulullah saw seperti Muawiyyah itu akan tergugat oleh tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh musuh Islam itu. Seorang sahabat biasa Nabi saw pun tidak tergugat dan tercedera kerana riwayat-riwayat golongan ini walaupun ia dinukilkan oleh beribu-ribu Thobari dan Jazari, berjuta-juta Kalbi dan Waqidi.

Inilah sepatutnya menjadi pegangan kita. Bagaimana kita boleh persoalkan tentang orang-orang yang telah dita’dilkan oleh Allah swt sendiri dalam firmannya yang bermaksud : “dan demikianlah kami telah menjadikan kamu(sahabat) satu ummat(generasi) yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul pula menjadi saksi atas kamu.” (al-Baqarah : 143)

Thursday, April 3, 2008

CINTA SEJATI

Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw. Sehari tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasihsayang Tsauban terhadap dirinya.
Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw. Katanya "Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi."
Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud "Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman." Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.
MORAL & IKTIBAR
Cinta kepada Rasulullah adalah cinta sejati yang berlandaskan keimanan yang tulen
Mencintai Rasul bermakna mencintai Allah
Kita bersama siapa yang kita sayangi. Jika di dunia sayangkan nabi, insyallah kita bersama nabi di akhirat nanti
Hati yang dalam kecintaan terhadap seseorang akan merasa rindu yang teramat sangat jika tidak bertemu
Pasangan sahabat yang berjumpa dan berpisah kerana Allah semata-mata akan mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak
Rasulullah amat mengetahui mana-mana umatnya yang mencintai baginda, meskipun baginda sudah wafat.
Rasulullah memberi syafaat kepada sesiapa di antara umatnya yang mengasihi baginda Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang berkawan di atas landasan keagamaan dan semata-mata kerana Allah.