Monday, May 30, 2011

Sahabat Dunia Akhirat...



Pengisian dari http://usrahkeluarga.blogspot.com/2011/05/sahabat-akhirat.html
Apabila membaca sirah Rasulullah SAW ternyata dalam perjalanan dakwah Baginda, Baginda ditemani oleh teman dan sahabat yang baik dan setia. Antara teman baik Baginda SAW adalah isteri Baginda sendiri, Saidina Khadijah, anak angkat Baginda Ali Abi Talib dan rakan seperjuangan Baginda, Abu Bakar RA. Apabila kita bertaaruf dengan teman dan sahabat Baginda, mereka adalah insan-insan yang hebat dan luarbiasa. Teman yang akan menemani Baginda di dunia dan di akhirat.

Teman yang baik adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Teman yang baik penunjuk jalan, penguat langkah dan azam, pendamping yang akan selalu mengingatkan kita untuk berusaha bersungguh-sungguh mencari bekal ke negeri abadi. Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman, untuk berkongsi suka dan duka, untuk mengingatkan kala terleka, untuk menemani kala beramal ibadat agar lebih bersungguh-sungguh, teman berkasih sayang kerana Allah, berpimpin tangan memimpin beban dakwah yang amat berat ini, demi bersama meraih syurgaNya. Justeru, kita memerlukan teman dan sahabat. Berdoalah agar kita memiliki teman dan sahabat yang baik, bukan sekadar baik budi, tetapi baik sehingga ke syurgawi. Kita memerlukan sahabat dan teman dalam perjalanan ini. 


Seorang Nabi Allah, Nabi Musa AS pun memerlukan teman lantas baginda berdoa kepada Allah agar mengurniakan teman penguat langkah, teman ke syurga.
"Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, iaitu (Harun), saudaraku, teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia, dan jadikanlah dia teman dalam urusanku, agar kami banyak bertasbih kepadaMu, dan banyak mengingatiMu, sesungguhnya Allah Maha Melihat Keadaan kami" (Thaha:29-35)
Kisah Nabi Musa memohon teman dari Allah untuk membantu menguatkannya membuktikan betapa kita sebagai manusia sangat memerlukan teman untuk menemani dalam urusan hidup seharian, membangun keperibadian mukmin dan umat. Bukankah seorang anak Adam itu akan lebih bersungguh-sungguh mengejar redhaNya dan meningkatkan segala amal apabila mempunyai teman yang seiring dan sejalan?

Saidina Umar mengatakan, "Tiada satu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam, selain saudaranya yang soleh. Apabila seseorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya, maka hendaklah ia berpegang kepadanya" 

Malah, Saidina Umar meminta kita 'berpegang kepadanya', bermakna tidak melepaskan dan menghargai teman tersebut kerana kita sebenarnya dianugerahkan kebaikan yang sangat besar apabila dikurniakan teman yang soleh.

Namun, ada sesuatu yang memelikkan. DI saat kita mahukan teman dan sahahat yang baik, apakah kita berusaha untuk menjadi teman ke syurga kala mencari teman ke syurga? Jadikah kita sahabat yang baik yang sentiasa mengajak teman kita kepada kebaikan, yang sentiasa mengingatkan teman kita akan janji-janji Allah, yang menunjukkan kepada teman kita qudwah yang baik? Sudahkah diri kita sendiri memiliki karakteristik sahabat yang baik? Kita lebih suka kritik dan mencari kelemahan teman dan sahabat kita berbanding kita melihat kepada diri sendiri sejauh mana kita telah mempersiapkan diri kita untuk menjadi teman yang baik. Nabi Musa AS telah menemui teman dan sahabat yang baik, Nabi Harun AS. Keduanya memiliki keperibadian mulia dan komited menyeru kepada aqidah yang satu. Justeru apakah ciri yang sepatutnya kita miliki agar kita juga akan menjadi sahabat dan teman ke syurga?

Penulis memetik satu tulisan dalam Majalah Solusi Bilangan 31, Abu Ya’la telah mengeluarkan riwayat ini daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau mencerita; telah ditanyakan, “Ya Rasulullah! Teman duduk-duduk kami yang manakah paling baik?”
Sabda Baginda, “Dia ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah (apabila kamu) melihatnya,; dan bertambah pada ilmu mu (apabila mendengar) perbicaraannya; dan mengingatkan kamu kepada Allah (apabila melihat) amalannya.” 
Di dalam kitab Hasyiah at-Targhib dijelaskan maksud teman majlis yang baik itu ialah “orang yang mengingatkan kamu kepada Allah (apabila kamu) melihatnya” bahawa seseorang yang apabila kamu melihatnya menyebabkan lidah kamu mula menuturkan zikrullah, bertasbih, bertahmid dan ber’tamjid’ kepada Allah. Ini berlaku disebabkan keelokan sifatnya, kewarakannya serta ketakwaannya.

Beginilah tarbiah Rasulullah SAW kepada para sahabat Baginda. Begitu halus dan tinggi hikmahnya. Baginda tidak menjawab, “Sayalah teman majlis yang terbaik!”.

Sebaliknya, memadai Baginda SAW hanya menyenaraikan ciri-ciri teman majlis yang hebat:

1) Memandangnya, sudah cukup menyebabkan kita teringat kepada Allah;
2) Mendengar perbicaraannya, menyebabkan ilmu dan kefahaman kita kepada agama bertambah; dan
3) Melihat amalannya, menyebabkan kita teringat kepada akhirat.

Apabila para sahabat RA mendengar ciri-ciri dan sifat-sifat yang hebat ini, mereka faham itulah sebenarnya sifat yang ada pada diri Baginda SAW. Namun, apabila Rasulullah SAW memperincikannya, ini lebih memudahkan lagi para sahabat untuk memahaminya dan mencontohi. Malah, jawapan Rasulullah ini sebenarnya adalah satu targhib (galakan dan dorongan) agar mereka berusaha untuk mewujudkan sifat-sifat insan yang terbaik ini dalam diri mereka.

Inilah karektor teman dan sahabat yang perlu kita miliki dan kita cari. Jangan kita disibukan mencari-cari kelemahan sahabat dan teman kita, sebaliknya muhasabahlah sentiasa, sejauh mana kita memiliki keperibadian sebagaimana yang telah Rasulullah SAW anjurkan. Dengan keperibadian di atas, insyaAllah kita akan ditemani dengan teman dan sahabat yang baik.

Bagaimana untuk memiliki ciri-ciri di atas. Kita perlukan kepada tarbiyah iman yang berterusan. Bermula dengan tarbiyah ruhiyah, membersihkan hati dari sebarang perasaan mazmumah, mengisi jiwa dengan keimanan yang ikhlas, insyaAllah akan lahir buah iman iaitu akhlak yang ampuh, kefahaman aqidah yang benar dan pelaksanaan ibadah yang sahih dan kecintaan kerana Allah semata. Yang menjadi permasalahan hari ini mengapa kita tidak menemui teman dan sahabat yang baik atau mengapa keperibadian kita tidak terbangun roh keimanan adalah kerana dalam hati dan jiwa kita masih ada kecintaan kepada dunia. Kita berkawan kerana kepentingan dunia dan peribadi. Kita menjalinkan ukhwah bukan atas dasar kecintaan kepada Allah tetapi hanya sekadar mengisi kekosongan jiwa kita, mencari habuan dunia dan pelbagai asbab yang lemah. Sedangkan Rasulullah SAW dan para sahabat RA membina ukhwah atas dasar kecintaan kepada Allah SWT, atas dasar kecintaan kepada akhirat dan syurga Allah. Dalam sebuah hadith Qudsi, Allah berfirman;

"CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana Aku, CintaKu mesti mesti bagi orang yang saling menasihati kerana AKu, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana Aku" (Hadith Qudsi)

Semoga jiwa kita tersentak dan bersegera memperbaiki diri agar kita memiliki karakter teman dan sahabat yang baik di sisi Allah SWT. InsyaAllah kita akan dihimpunkan bersama-sama dengan sahabat dan teman yang baik di sisiNya. Proses hati kita dengan sentiasa mentadabbur Al Quran dan serah Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Perhatikan bagaimana mereka membina keperibadian mereka untuk berukhwah dan membina hubungan hati yang ikhlas antara satu sama lain. Hadirkan hati kita dalam majlis-majlis tarbiyah kerana di sana adalah perhimpunan orang-orang yang soleh. 

Sekiranya kita telah dipertemukan dengan teman dan sahabat yang baik, maka hargailah kehadiran mereka, hormati mereka dan saling memperbaiki hubungan dengan mereka. Janganlah kita tidak mengasihi dan menghargai mereka hanya kerana kelemahan yang ada pada mereka. Hakikatnya kita sendiri punyai banyak kelemahan. Semoga Allah memberkati kita.

No comments: