Semua manusia berdosa. Tiada yang akan terlepas daripada dosa, melainkan yang telah diberikan mandat maksum daripada Allah SWT seperti Rasulullah SAW.
Tetapi ada bezanya manusia yang beriman dengan manusia yang tidak beriman dalam melakukan dosa. Hendak melihat sejauh mana keimanan kita, maka kita sepatutnya boleh mengukurnya dari segi layanan kita terhadap dosa.
Orang yang beriman, dia akan bersegera dalam kembali kepada AllahSWT selepas menyedari bahawa dia telah menjauhiNya.
Sedang orang yang keimanannya lemah, sakit, atau tidak beriman langsung, maka mereka akan terus rasa berseronok bergomol di dalam dosa, mereka akan melambat-lambatkan urusan mereka untuk pulang kepada Allah SWT.
Kita berada dalam golongan mana?
Kefahaman asas: Jahiliyyah adalah musuh dalam kehidupan. Najis untuk mereka yang beriman
Oleh kerana jahiliyyah adalah sesuatu yang Allah tidak redhai, dan apabila Allah tidak redha itu boleh membawa saya ke neraka, saya senang menganalogikan jahiliyyah itu dengan najis.
Dengan perasaan sedalam itu terhadap jahiliyyah, apabila kita melihatnya melekat pada tubuh kita, kita akan segera mencucinya. Bila kita nampak pada orang lain ada jahiliyyah, kita akan berfikir bagaimana untuk mencuci jahiliyyah agar bersih daripadanya.
Apa pandangan anda apabila anda melihat ada najis terlekat pada pakaian anda? Pada tubuh badan anda?
Anda bersegera mencucinya bukan?
Bagaimana dengan dosa?
Sepatutnya kita lebih bersegera dalam mengikis dosa bukan?
Sebab najis boleh dicuci dengan air. Mudah.
Dosa, hanya boleh dihilangkan dengan keampunan daripada Allah SWT.
Mudah juga sebenarnya. Persoalannya, siapakah yang bersegera pergi kepadaNya? Kepantasan kita dalam bertaubat, hakikatnya adalah kayu ukur hubungan kita kepadaNya, kayu ukur kebencian/kesukaan kita terhadap dosa, kayu ukur keimanan kita.
Dosa menjemput azab daripada Allah SWT. Siapa yang beriman, akan ketakutan apabila melakukan dosa, seakan-akan ada gunung yang hendak menghempapnya. Maka sekiranya kita benar beriman, tidakkah apabila kita sedar kita berdosa, kita akan berlari mendapatkanNya?
Atau kita berlenggang sahaja?
Inilah dia asasnya. Sekiranya benar kita hendak menjadi hamba kepada Allah SWT.
Bersegera kembali kepada Allah. Tanda kesihatan iman.
Khutbah Jumaat pada minggu lepas(031210), Dr Abdullah Juyushi sekali lagi menjadi khatib. Tajuk khutbahnya pada kali itu adalah “Anab” yang merupakan perkataan bahasa arab, yang kalau diterjemahkan secara biasanya membawa maksud “Kembali” yakni “Bertaubat”.
Namun Dr Abdullah Juyushi menerangkan bahawa, “Anab” bukanlah kembali yang biasa. “Anab” hakikatnya membawa maksud “Segera kembali”. Yakni, orang-orang yang mempunyai sifat “anab”, mereka segera kembali kepada Allah SWT.
Allah SWT telah memberikan isyarat yang banyak di dalam Al-Quran, berkenaan segera kembali kepadaNya.
Lihatlah firman-firman Allah SWT:
“(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu segera kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti).“ Surah Saba’ ayat 9.
“Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bersegera kembali (kepada Allah).“ Surah Ghaafir ayat 13.
Bahkan para Nabi juga adalah yang bersegera kembali kepada Allah SWT:
“Sesungguhnya Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka segera kembali kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti.” Surah Hud ayat 75.
” Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa segera rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya).” Surah Saad ayat 44.
Dan bersegera kembali kepada Allah SWT adalah arahan, tuntutan daripada Allah SWT kepada kita sebenarnya.
“Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa bersegera merujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik.” Surah Ar-Rum ayat 31.
Arahan itu jelas menunjukkan betapa orang yang beriman tidak akan sesekali menjadikan jahiliyyah sebagai kroni. Sesekali mereka tidak akan berkompromi dengan jahiliyyah. Sekiranya keimanan kita adalah benar, adalah mustahil untuk kita ‘menyenangi’ kewujudan jahiliyyah di dalam kehidupan kita.
Dan Allah menerangkan dengan jelas bahawa, ciri-ciri mereka yang berjaya di akhirat kelak, adalah mereka yang bersegera kembali kepada Allah SWT.
“Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (Serta dikatakan kepada mereka): Inilah yang dijanjikan kepada kamu, – kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa segera kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah); (Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat.” Surah Qaaf ayat 31-33.
Bagaimana kita dengan Allah SWT?
Suka saya hendak mengulang kata-kata guru saya, Dr Samirah Tohir, berkenaan bagaimana kita hendak mengetahui keadaan kita di sisi Allah SWT.
“Kamu ingin tahu bagaimana keadaan kamu di sisi Allah SWT? Lihatlah di mana kamu meletakkan Allah di hati kamu.”
Ya. Bersegera kembali kepada Allah SWT boleh menjadi kayu ukur dalam kita melihat, di manakah sebenarnya kita meletakkan Allah SWT.
Sekarang, di manakah Allah di sisi kita?
Soal, dan jawab.
Kekuatan, hadir daripada ini.
Manusia yang selalu menyatakan akan kelemahannya, sering berputus asanya dia, sering merasa tidak kuat, adalah manusia yang kehilangan sifat ‘anab’ ini.
Hakikatnya, dia tidak kembali kepada Allah SWT. Lihatlah, kalau kita merasakan diri kita lemah, cuba lihat apakah di dalam kehidupan amal soleh kita yang telah kita kurangkan? Lihatlah apa dosa yang telah kita tambah?
Kemudian lihatlah apakah kita bersegera memperbaiki keadaannya? Kalau amal soleh berkurang, apakah kita segera menambahnya? Kalau dosa bertambah adakah kita berusaha menyekatnya?
Terus berada dalam kelemahan bererti kita tidak bergerak untuk membaikinya.
Dengan sentiasa bersegera kembali kepadaNya, kita akan berjaya mengekalkan kekuatan yang ada. Hal ini kerana, lebih lama kita berada di dalam jahiliyyah, lebih reput jiwa raga kita. Di situlah sebabnya semakin lama kita semakin lemah.
Caranya hanyalah satu.
Pantas bergerak kembali kepadaNya. Jangan berlengah-lengah!
Penutup: Manusia, ada waktu di atas, ada waktu di bawah.
Kita amat arif bahawa manusia ada waktu di atas, ada waktu di bawah.
Tetapi sebaik-baik manusia adalah, apabila dia berada di bawah, dia akan bersegera untuk naik semula ke atas.
Kita amat tahu bahawa manusia semuanya berdosa.
Tetapi sebaik-baik pendosa adalah yang bersegera dalam taubatnya.
Maka siapakah kita?
Adakah kita berusaha untuk menjadi yang terbaik?
Menjadi hamba Allah SWT yang terbaik?
Atau kita merasakan ini semua tidak penting?
Sama-sama melihat kembali diri kita.
Pengisian dari http://ms.langitilahi.com/perkongsian-anab/
No comments:
Post a Comment