Assalamualaikum, sy nk kongsi satu pengisian yg sy kira sy bersetuju dgn pendapat penulisnya, Akh Hilal. Cakap tentang jemaah dlm Islam, memang banyak jemaah dlm Islam. Masing2 ada matlamat ingin mendapat Mardhatillah cuma mungkin uslub dakwah berbeza. Kita nak pilih jemaah mana? Semua tu bergantung atas kita.
Jemaah di mata saya
Jemaah di mata saya adalah platform. Wasilah untuk kita melalui tarbiyah dengan lebih sistematik. Dengan kesatuan, kekuatan itu mampu dikumpulan. Kerja-kerja pengislahan diri dan ummah, tak akan mampu dilakukan dengan sendirian. Biri-biri yang terkeluar dari kumpulan menjadi semakin mudah untuk dibaham serigala.
Sebab itu, kita memerlukan jemaah, kesatuan, organisasi, untuk membantu kita membina kekuatan diri.
Bersendirian, kita sukar hendak istiqomah. Tambah pula dengan keadaan masyarakat semakin punah. Lebih menyukarkan, ‘track’ untuk ke arah pengislahan diri itu samar-samar.
Dengan kewujudan jemaah, kita ada yang membantu menyokong sorong bila kita lemah. Kita mampu membina satu biah(suasana) solehah. Dan kita akan mempunyai ‘track’, sistem, ‘manhaj’ yang jelas untuk bergerak ke arah kebenaran.
Jemaah di mata saya, tidak lebih dari alat.
Alat untuk memudahkan saya bergerak mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan mengajak orang lain selain diri saya untuk juga kembali kepada Allah SWT.
Sekiranya jemaah itu tidak berfungsi sedemikian, maka saya akan meninggalkannya.
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan” Surah Al-Furqaan ayat 63-65.
Kesilapan ramai orang
Mereka yang arif dengan dakwah dan tarbiyah, pastinya arif akan jemaah. Jemaah boleh muncul dengan pelbagai nama lain. Baik berbentuk organisasi bukan kerajaan, kerajaan itu sendiri, parti, kumpulan kecil atau besar, malah seluruh ummah boleh menjadi jemaah.
Jemaah bermaksud ‘mereka yang berkumpul’. Masalah di sini, berkumpul untuk apa? Ada berbagai sebab. Ada sahaja jemaah yang tercipta untuk membawa kefasadan. Nazi contohnya. Itu satu jemaah juga. Tetapi yang saya hendak fokuskan di sini adalah jemaah yang menyatakan bahawa diri mereka hendak membawa manusia ke arah Allah SWT.
Justeru, wujud manusia-manusia yang ingin bergerak kepada Allah SWT, dan memperbaiki ummah, membina ‘kumpulan-kumpulan manusia’ untuk menjadikan pergerakan mereka ke arah matlamat tadi lebih kemas, teratur, licin dan lancar.
Tujuan yang murni ini rosak, apabila mereka mula mengangkat jemaah sebagai satu ‘agama’. Sedangkan agama di sisi Allah hanyalah Islam. Jemaah perlu berada di bawah Islam. Bukan Islam berada di bawah jemaah.
“Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya” Hadith Riwayat Baihaqi.
Akhirnya, orang-orang lain habis dikafirkan, habis dimunafiqkan, dikatakan sesat dan terkeluar dari jalan Islam yang sebenar, dan sebagainya.
Yang wujud dalam formula ini akhirnya hanyalah kehancuran. Sedangkan Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua antara mereka yang bertelagah, moga-moga kamu mendapat rahmat” Surah Al-Hujurat ayat 10.
Hairan. Islam yang mengajak kepada kesatuan, tetapi akhirnya menjadi agama yang paling banyak perpecahan di dalamnya. Sampai saya pernah mendengar kata-kata:
“Orang-orang bukan Islam bila berkumpul mereka bersatu untuk menjahanamkan Islam. Tetapi orang Islam bila berkumpul, hanya tahu bergaduh sahaja dalam hendak menaikkan Islam”
Maka, di mana matlamat pembinaan jemaah yang dikatakan hendak membawa manusia pulang kepada Allah SWT?
Jemaah itu betul, jemaah ini salah
Betul dan salah, buruk dan baik, dikira dengan neraca apa?
Saya tidak nampak neraca lain selain neraca Allah SWT.
Keburukan segelintir manusia yang ‘berjemaah’ adalah, meletakkan jemaahnya pada tahap ‘agama Islam’ itu sendiri. Seakan-akan merekalah yang diisytiharkan oleh Allah SWT secara jelas sebagai yang membawa panji kepada pengislahan bumi. Orang selain mereka dikatakan salah. Pembinaan organisasi lain dikatakan menganggu pergerakan organisasinya. Akhirnya organisasi lain ditohmah. Alasan: Jemaah perlu ada satu sahaja. Jadi selain jemaah kami, jemaah lain semuanya sesat dan salah.
Ya kah?
Betul dan salah, buruk dan baik, adakah ia dikira dengan jemaah mana, kumpulan mana?
Tidak. Betul dan salah, buruk dan baik, dikira dengan neraca Allah. Al-Quran dan As-Sunnah. Mana-mana yang terkeluar dari manhaj Al-Quran dan As-Sunnah, itulah baru boleh dikatakan terkeluar. Selagi masdar jemaah-jemaah yang ada itu terbinanya di atas Al-Quran dan As-Sunnah, seterusnya pergerakannya juga berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, maka adalah tidak layak sesiapa menyatakan jemaah-jemaah itu sesat dan terkeluar.
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” Surah An-Nisa’ ayat 59.
Yang pertama diarahkan adalah untuk mentaati Allah dan Rasulullah. Kemudian baru disebut taat kepada pemimpin. Tetapi pemimpin yang bagaimana? Pemimpin yang dari kalangan kamu. Kamu di sini balik kepada orang-orang beriman yang patut pada araha taat kepada Allah dan Rasulullah tadi. Sekiranya berselisih pendapat, maka WAJIB balik kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Lihat? Inilah dia masdar sebenar. Selagi tidak terkeluar dari masdar ini, perlembagaan ini, maka kita tidak sepatutnya bersengketa dan bermusuhan.
Perbezaan kefahaman cabang, perbezaan teknikal, perbezaan bahasa, bukanlah alasan untuk menafikan, menyisihkan, mengkafirkan jemaah-jemaah lain.
Sebab, jemaah bukan agama, tetapi hanya alat. Jemaah bukan matlamat, tetapi hanya wasilah untuk mencapai matlamat.
Agama kita adalah Islam. Jemaah-jemaah yang menyatakan bahawa matlamat mereka adalah untuk membawa manusia kepada Allah SWT, perlulah tunduk di bawah bendera Islam, bersatu lengkap melengkapi di bawah bendera ini, bantu membantu di bawah manhaj Al-Quran dan As-Sunnah.
Bukan bersengketa, menyatakan dia itu salah, dia ini salah, dia itu terkeluar, dia ini sesat dan sebagainya.
Matlamat pembinaan jemaah, itu perlu dilihat semula
Kesilapan utama dalam medan ini adalah taksub, fanatik, dan mana-mana ism yang sekaum dengannya. Ke semua ism-ism ini menghapuskan toleransi, kerendahan hati, kelapangan jiwa yang membawa kepada kesatuan dan kekuatan. Akhirnya, yang ada untuk mereka yang berbalah adalah kehancuran.
Matlamat pembinaan jemaah adalah untuk apa?
Merampas kekuasaan? Mendominasi dunia? Menjadi yang paling berkuasa?
Kalau itu matlamatnya, maka benarlah mengkafirkan orang, menyalahkan orang, sebagai cara yang perlu dilakukan.
Tetapi kalau matlamat jemaah adalah Mengembalikan Kedaulatan Islam, Membawa Kembali Manusia Kepada Allah SWT, maka caranya bukan dengan mengkafirkan orang, menyalahkan orang dan cara-cara yang buruk itu.
Sepatutnya, ahli-ahli jemaah pergerakan Islam perlu melihat dan mencontohi bagaimana tasammuh(tolak ansur) yang ditunjukkan oleh empat orang imam mazhab. Imam Malik, Imam As-Syafie, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad ibn Hanbal Raihimahumullah Ajma’in. Bagaimana gaya mereka bertolak ansur sesama mazhab mereka.
Tidak pula As-Syafie menyatakan Imam Malik itu kafir atas perbezaan mereka. Bahkan kita amat arif akan tawadhu’nya mereka semua sehingga masing-masing berguru sesama sendiri. Imam As-Syafie adalah anak murid kepada Imam Malik. Imam Ahmad ibn Hanbal adalah murid kepada Imam As-Syafie. Imam As-Syafie sendiri pernah menziarahi Imam Ahmad Ibn Hanbal dan tidur di rumah muridnya itu. Untuk Imam Abu Hanifah, Imam As-Syafi’e pernah berkata: “Semua pelajar-pelajar Fiqh adalah anak-anak kepada Imam Abu Hanifah” Menggambarkan kehormatannya.
Mereka walaupun berlainan pendapat, tetap hormat menghormati, cinta mencintai. Kalau Imam Asy-Syafie bersolat di masjid Imam Abu Hanifah, dia tidak membaca Qunut sebagaimana mazhabnya. Lihat kerendahan hati mereka.
Kenapa mereka mampu berlaku sedemikian sesama mereka?
Sebab mereka faham bahawa mereka semua berada atas landasan Al-Quran dan As-Sunnah. Pandangan, ijtihad, khilaf antara mereka adalah daripada mereka sendiri. Dan mereka menerima kekurangan mereka satu sama lain tetapi tidak pula pernah merendah-rendahkan sesama mereka.
Ini orang yang alim, ilmu mereka seluas lautan, kalau mereka hendak berkata: “Aku betul, dan imam-imam mazhab lain itu semua salah,” mereka boleh sahaja berkata demikian. Tetapi mereka tidak.
Kerana mazhab bukan agama mereka. Agama mereka adalah Islam. Kenapa mereka mengasaskan mazhab? Adalah untuk mempermudahkan urusan ibadah orang Islam.
Jemaah-jemaah yang wujud di dunia hari ini patut mencontohi imam empat mazhab ini. Bagaimana kerendahan hati mereka, bantu membantu, lengkap melengkapi.
Tuhan sudah sama, satu: Allah. Rasulullah juga sudah sama: Muhammad SAW. Manhaj yang sama: Al-Quran dan As-Sunnah. Berkongsi pula Abu Bakr, Umar, Uthman, Ali dan sahabat-sahabat RA yang sama. Agama sama: Islam. Matlamat juga sudah sama: Syurga Allah, keredhaan Allah.
Jadi, kalau kalian sama dalam hal-hal ini, kenapa berbalah? Kenapa sisih menyisih? Kenapa hina menghina? Kenapa perlu pening siapa perlu jadi ketua?
Bersatu. Virus kepada kesatuan adalah taksub dan fanatik.
Kerosakan hasil kesilapan ini
Kerosakannya sangat besar dan boleh menjalar sehingga parah.
Hilangnya kekuatan ummah, rosaknya kelancaran dakwah, kemusnahan dalam sistem tarbiyah, pudarnya kerendahan hati dan cacatnya toleransi.
Ini semua hanya membawa kepada Kerosakan.
Kerosakan ummah, dan juga kerosakan peribadi.
Adakah ini yang kita mahukan?
Dan mari pula kita lihat pengikut-pengikut mereka yang fanatik, taksub dan sebagainya. Apakah kefanatikan, ketaksuban pengikut-pengikut mereka itu memberikan kebaikan? Sampai di sekeliling Ka’bah terdapat empat jemaah solat dan semuanya solat berlainan mazhab. Sampai satu ketika, masjid terpaksa bergilir untuk solat, sekiranya mufti bermazhab Hanafi, maka mazhab Hanafi akan solat pada giliran yang pertama. Manusia kafir mengkafir bila tahu mereka berlainan. Malah ada yang sampai berbunuhan.
Apakah ini?
Ini adalah hasil ketidak jelasan kefahaman mereka akan sebab pengasasan mazhab. Hasil dari taksub. Hasil dari fanatik.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Surah Al-Hujurat ayat 11.
Jadi, para ahli jemaah yang ada sekarang, apakah pandangan kalian?
Apa matlamat jemaah kalian?
Penutup: Jangan tertipu, dan jangan jadi fitnah
Akhirnya, saya memberi pesan.
Syaitan itu sangat-sangat bijak. Bila dia gagal mengajak manusia melakukan maksiat, keingkaran kepada Allah SWT, maka dia akan mengajak manusia ke arah kebaikan dan ketaaatan. Tetapi kebaikan yang palsu, penuh dengan riya’, takabbur, kekotoran niat, dan penyimpangan matlamat.
Maka saya berpesan dengan perkara yang sama terhadap kalian yang mempunyai jemaah.
Jangan tertipu. Bila kalian tertipu dengan hal ini, maka kalian akan menjadi fitnah pada mereka yang dahagakan tarbiyah.
Pastikan kejelasan matlamat itu terjaga. Pastikan kebersihan niat itu terjaga. Pastikan kebenaran jalan yang diambil itu terjaga.
Bezakan dunia dan akhirat. Bezakan musuh yang sebenar dengan sahabat yang sebenar. Rujuk kembali apa yang Allah mahukan kepada kita. Lihat kembali apa yang Rasulullah hendakkan daripada kita. Lihat kembali apa yang Islam itu tuntut pada kita.
Jangan kalian tertipu. Dengan ketertipuan kalian, kalian hanya menambah ujian mereka yang hendak membawa kebenaran. Menjadi batu penghalang kelancaran perjalanan.